KUALA TERENGGANU - Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang secara lebih terperinci dan tegas di setiap projek pembangunan bagi mengurangkan risiko berlakunya bencana alam atau tragedi yang berpunca daripada kecuaian manusia.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, kebelakangan ini banjir kilat berlaku akibat pembangunan terlalu pesat dan projek terbengkalai selain ketiadaan pemantauan berkesan.

"Ini yang perlu diberi penekanan oleh PBT dan sudah tentu maklumat daripada komuniti setempat sangat diperlukan agar PBT bertindak mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

"Mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab perlu dikenakan  denda dan penalti tinggi untuk menimbulkan kegerunan kepada mereka agar tidak mengulangi kesilapan sama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM Terengganu) di sini, hari ini.

Beliau turut mendengar taklimat mengenai kesiapsiagaan bomba menghadapi banjir yang disampaikan oleh Pengarah JBPM Terengganu, Azlimin Mohd Noor.

Sementara itu, katanya, pasukan penyelamat di pantai timur tiada masalah untuk beroperasi di kawasan biasa banjir kerana sudah mahir dengan bentuk muka bumi dan cabaran serta risiko bakal dihadapi.

"Namun, mereka perlu lebih bersedia untuk kerja menyelamat di kawasan banjir luar jangka yang kita tidak boleh duga seperti banjir kilat akibat pembangunan terlalu pesat dan projek terbengkalai yang boleh berlaku di mana-mana sahaja," katanya. - Bernama