KUALA LUMPUR - Sebanyak 872 tenaga profesional tempatan dengan 90 peratus daripadanya warga Sabah menyumbang kepakaran dan tenaga kerja masing-masing dalam pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, Dewan Rakyat dimaklumkan, hari ini.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, mereka termasuk 117 profesional yang diambil kerja oleh Rakan Pelaksana Projek (PDP), manakala 755 lagi secara langsung oleh pihak perunding dan kontraktor terlibat bagi 12 pakej pembinaan yang sedang dilaksanakan.

“Jumlah keseluruhan 872 tenaga profesional ini dijangka bertambah apabila lebih banyak pakej daripada keseluruhan 35 pakej projek ini dilaksanakan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri.

Beliau menjawab soalan asal Awang Husaini Sahari (PH-Putatan) yang mahu kerajaan menyatakan jumlah komponen projek Pan Borneo Highway Sabah yang dikendalikan golongan profesional tempatan.

Baru berkata, kesemua mereka ini mengendalikan lapan komponen bagi projek sepanjang 706 kilometer berkenaan.

“Sumbangan mereka ini telah beri nilai tambah kepada pelaksanaan dari segi pembangunan modal insan dan profesional dalam pembinaan lebuh raya,” katanya.  - Bernama