HATYAI – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melancarkan ‘Pakej Selatan Thailand ke Malaysia’ sebagai insentif terbaharu untuk menarik pelancong Thailand ke Malaysia.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kementerian berharap dapat menjual 6,000 pakej dalam tempoh lima bulan.

“Tahun ini kita menyasar 1.8 juta ketibaan pelancong daripada Thailand. Dari Januari hingga Mei tahun ini, kita sudah menerima kira-kira 812,954 pelancong Thai, bertambah 9.8 peratus,” katanya semasa melancarkan pakej tersebut di sini hari ini.

Beliau berkata tahun lalu sejumlah 1.78 juta pelancong Thailand datang ke Malaysia, bertambah 32.7 peratus berbanding tahun sebelum itu.

Mohamed Nazri berkata pelancong Thai menyumbang RM3.5 bilion kepada sektor pelancongan Malaysia tahun lalu dan menduduki ranking  keempat daripada  10 ranking teratas dari segi penjanaan pasaran pelancongan Malaysia.

Beliau berkata harga pakej bermula serendah 4,200 Baht (kira-kira RM525) yang ditawarkan ke pelbagai destinasi seperti Genting Highlands, Cameron Highlands, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Langkawi dan Ipoh.

Ia disasarkan bagi pengembaraan keluarga, hiburan, pengembaraan agama dan beli-belah, katanya.

Mohamed Nazri berkata kementeriannya sedang bekerjasama dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk mempromosi pakej rel.

Pakej menerusi rel bermula pada 4,451 Baht (kira-kira RM556).

Beliau berkata pakej selatan Thai turut bertujuan memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara selain bagi memperingati ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Thailand. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.