PETALING JAYA - Sekretariat Himpunan Blackout 505 hari ini memutuskan untuk mengadakan perhimpunan itu di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 15 Jun ini sebagai menghormati nasihat pihak polis supaya tidak melibatkan Dataran Merdeka.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli bagaimanapun berkata pihaknya amat berbesar hati jika pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudi membenarkan pihaknya menggunakan Dataran Merdeka untuk tujuan itu.

"Pada asasnya kami merasakan Dataran Merdeka adalah tempat yang paling sesuai untuk rakyat berhimpun menyuarakan hasrat murni seperti yang terkandung dalam tuntutan #Blackout505," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Sehubungan itu katanya sekretariat akan menyerahkan notis sepuluh hari kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Balai Polis Dang Wangi dan pemililk Padang Merbok iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kg. Baru, Kuala Lumpur, hari ini.

Siri perhimpunan itu katanya akan mengemukakan tiga tuntutan menolak penipuan pada PRU13, 5 Mei lalu.

Antara tuntutan mereka ialah mendesak semua ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan jawatan serta-merta susulan kegagalan memastikan PRU13 bersih, adil dan telus.

Sehubungan itu ahli interim baru SPR katanya wajib dilantik dengan rundingan dan persetujuan bersama dengan Pakatan Rakyat (PR), Jawatankuasa Bersih 2.0 dan rakyat.

Selain itu, mereka juga menuntut supaya diadakan semula pilihan raya semula di kawasan yang terbukti berlaku penipuan, khususnya di 30 kerusi Parlimen yang telah mempengaruhi keputusan PRU13 baru-baru ini.

Sekretariat itu juga menuntut supaya menghentikan serta-merta sebarang usaha untuk meminda undang-undang pilihan raya dan membuat persempadanan semula oleh SPR.

"Pelantikan SPR perlu mendapat sokongan dua pertiga Dewan Rakyat dan memenuhi tuntutan Bersih bagi memastikan pilihan raya benar-benar adil dan bersih," katanya lagi.