KUALA LUMPUR - Orang ramai perlu terus diberi pendedahan tentang bahaya mengkonsumsi antibiotik tidak mengikut keperluannya berikutan kes kerintangan antibiotik (AMR) di Malaysia menunjukkan peningkatan agresif, kata Setiausaha Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia Prof Madya Dr Syafinaz Amin Nordin.

Menurutnya, orang ramai terutamanya pesakit juga tidak perlu malu bertanya ketika sesi konsultasi dengan doktor atau ahli farmasi mengenai keperluan mendapatkan ubat antibiotik kerana bukan semua jangkitan bakteria memerlukan kepada penggunaan ubat itu.

Pesakit dan orang ramai perlu terus diberi pendedahan yang ubat antibiotik tidak boleh dikonsumsi sewenang-wenangnya kerana ada sebahagian patogen atau bakteria sentiasa mencari cara untuk menentang keberkesanan antibiotik, katanya.

"Jadi ketika konsultasi dengan doktor atau ahli farmasi, pesakit tidak perlu malu untuk mengesahkan keperluan mendapatkan antibiotik, kerana kadang-kadang ada sebahagian golongan profesional ini terlepas pandang memberi preskripsi antibiotik tidak mengikut keperluannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar "Perang Menentang Superbugs" di sini, hari ini.

Ketua Penyakit Berjangkit Kementerian Kesihatan Datuk Dr Christhoper Lee pula berkata kementerian itu dalam fasa terakhir mengkaji Garis Panduan Antibiotik Kebangsaan tahun ini sebelum ia mula dilancarkan tahun hadapan untuk dijadikan panduan kepada pegawai perubatan melibatkan hospital kerajaan dan swasta.- Bernama