“KALAU anak saya kena denda di sekolah, ia diibaratkan satu perkara yang amat memalukan buat diri saya.

Demikian kata seorang bapa, Jaafar Abd Karim, 87, ketika menceritakan andai sembilan anaknya didenda atau dihukum di sekolah atas kesalahan disiplin.

Jaafar yang mempunyai lima anak lelaki dan empat anak perempuan berkata, sebagai ketua keluarga, beliau perlu tegas dalam urusan mendidik anak-anak di rumah.

“Sebab itu saya kata, kalau anak saya dihukum di sekolah, ia memalukan umpama saya gagal mendidik mereka. Jadi saya tidak kisah anak saya dipukul atau dirotan oleh guru.

“Kalau saya dapat tahu, biasanya guru akan maklumkan, saya akan hukum mereka. Namun hukuman itu bukanlah satu deraan tetapi sebagai pengajaran buat diri mereka,” katanya.

Jaafar yang mempunyai lebih 30 cucu berkata,  beliau bersyukur kerana ajaran  guru di sekolah membuatkan anak-anaknya lebih berdisiplin dan menjadi insan berguna.

“Anak-anak saya juga menggunakan cara yang sama untuk mendidik anak-anak mereka. Mereka tegas dan bertanggungjawab,” katanya.

Ketika ditanya adakah beliau tegas terhadap cucunya, Jaafar turut berkongsi, garang dan tegasnya itu hanya untuk anak-anak.

“Cucu-cucu saya ada ibu bapa mereka sendiri. Dengan cucu tidak sama dengan anak-anak. Kadang-kadang mereka mengadu ibu bapa mereka garang,” katanya.   

Berkongsi pandangan sama, pesara, Nor Ashaha Shari, 54, berkata, beliau sentiasa menjalin hubungan erat bersama guru di sekolah.

Katanya, itu merupakan satu cara untuk mengetahui perkembangan anaknya di sekolah.

“Anak saya pernah ditampar di sekolah kerana besar kepala. Guru memaklumkan tindakan itu bersebab. Saya sedikitpun tidak marah sebab saya tahu anak saya nakal.

“Apabila saya pulang ke rumah, saya bertanyakan hal tersebut kepada anak saya. Dia mengakui kesilapan yang dilakukan,” katanya yang mempunyai empat anak berusia antara 19 dan 32 tahun.

Mengulas hukuman yang dilakukan oleh cikgu berkenaan, beliau berkata, hukuman yang dibuat tidak menyalahi dan berpatutan terhadap apa yang berlaku.

“Cikgu nak rotan? Saya izinkan. Cikgu nak lempang? Saya izinkan. Alhamdulillah, hukuman itu sedikitpun tidak memudaratkan anak saya.

“Malah atas hukuman itu dan ketegasan saya di rumah, anak-anak saya menjadi orang,” katanya.

Mengulas sikap ibu bapa pada hari ini yang terlampau memberi perlindungan terhadap anak-anak, beliau menasihati, ibu bapa perlu tahu peranan sebenar dalam mendidik anak-anak.

Katanya, dengan hanya memberi perlindungan tanpa mengenali siapa anak mereka, dikhuatiri akan memberi kesan buruk terhadap tumbesaran anak-anak.

 

[ARTIKEL BERKAITAN : Jika ada masalah datang sekolah jumpa PIBG]

[ARTIKEL BERKAITAN : Mak bekal rotan: Erma Fatima]