SHAH ALAM - Mesyuarat antara Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Non-OPEC yang diadakan di Vienna mencapai satu lagi peristiwa penting dalam usaha untuk menstabilkan harga minyak global.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, mesyuarat yang berlangsung semalam dan disertai Malaysia ini diakhiri dengan komitmen berterusan dari negara-negara Non-OPEC berikutan keputusan OPEC pada hari yang sama untuk meneruskan pemotongan pengeluaran bagi sembilan bulan berakhir Q1, 2018.

“Bagi pihak Malaysia, dan selepas berbincang dengan Petronas, saya bersetuju untuk komited dengan pemotongan pengeluaran 20,000 tong sehari seperti mana yang telah dipersetujui oleh ahli-ahli lain, pada tahap yang sama seperti sebelum ini.

“Malaysia yang mengambil bahagian dalam mesyuarat hari ini antara negara-negara OPEC dan Non-OPEC percaya bahawa harga minyak global yang lebih stabil dan seimbang boleh dicapai dengan merangsang keseimbangan mampan dalam mekanisme permintaan dan penawaran untuk mencapai harga pasaran yang optimum,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Malaysia melihat langkah tersebut akan beri kesan yang positif kepada ekonomi dalam jangka masa panjang.

Katanya, ini sekali gus akan memberi impak yang baik  untuk kedua-dua pengeluar dan pengguna dalam mencapai agenda pembangunan yang mampan.

“Malaysia mengalu-alukan keputusan yang dipersetujui di samping mengesahkan komitmen dengan perjanjian ini dan berharap agar kerjasama ini berjaya,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Harga runcit mingguan bagi petrol RON95 dan RON97 turun tujuh sen berkuat kuasa 12.01 tengah malam ini bagi tempoh 22 hingga 28 Jun ini, manakala harga diesel kekal seperti minggu lepas.
  • CYBERJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan hari ini mencadangkan dua nama yang boleh menjadi calon Perdana Menteri Pakatan Harapan iaitu Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.