KOTA BHARU - Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (Ombak), sebuah pertubuhan bukan kerajaan, mendesak Kerajaan Kelantan menjelaskan kedudukan sebenar perjanjian dengan sebuah syarikat bagi membangunkan kawasan Lembah Sireh seluas 460 hektar di sini, yang dimulakan hampir sedekad lalu.
Presidennya, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berkata, perjanjian itu menuntut syarikat berkenaan memberi sumbangan lebih RM350 juta dalam bentuk pembangunan seperti membina jambatan, masjid, stadium tertutup wanita dan sumbangan kepada tabung perumahan kos rendah.
"Itu maklumat yang kami dapat, sekiranya perjanjian itu terbatal sekali pun, kerajaan harus menjelaskan perjanjian mana yang diguna pakai, katanya pada sidang media Pejabat Umno Kelantan di sini, hari ini.
Pada November 2010, laporan media menyebut Kerajaan Negeri Kelantan akan mengkaji semula perjanjian Projek Lembah Sireh yang bermasalah apabila pemaju hanya berjaya melaksanakan 50 peratus projek itu setakat ini.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri sehingga ketika itu hanya menerima bayaran sebanyak RM7,357,883 daripada pihak pemaju sejak projek tersebut dilaksanakan.
Beliau berkata, jumlah tersebut adalah sebahagian daripada bayaran yang dipersetujui dalam perjanjian antara kerajaan negeri dan pihak pemaju dengan ada beberapa item yang belum dijelaskan kepada kerajaan.
"Oleh kerana projek ini hanya 50 peratus dapat disiapkan, kita anggap ia sebagai projek yang bermasalah dan kerajaan sedang membuat kajian untuk mendapatkan pulangan seperti dijanjikan dengan keluasan 50 peratus tanah yang telah ditimbus semula," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri akhir November 2010.
Projek Lembah Sireh melibatkan pembangunan dan pengindahan di tebing Sungai Kelantan yang membabitkan kos kira-kira RM2 bilion.
Pembangunan projek berkenaan membabitkan kawasan seluas 400 hektar meliputi jajahan Kota Bharu dan Tumpat.
Antara komponen yang akan dimajukan termasuk projek perumahan, taman rekreasi, pusat peranginan, hotel, kemudahan marina dan pusat air, taman awam dan jambatan merentangi Sungai Kelantan di Kampung Cina.
Selain itu, ia turut melibatkan pembinaan rumah kedai komersial, pelbagai kemudahan sosial untuk penduduk tempatan, kompleks membeli-belah antarabangsa, bangunan pejabat, pusat komersial, lingkaran jalan ke semua arah ke bandar Kota Bharu, water front, laluan pejalan kaki dan jeti awam.
Bagaimanapun sehingga 2010, antara bangunan yang terdapat di Lembah Sireh adalah pasar raya Tesco, terminal bas dan beberapa blok komersial yang kebanyakannya masih kosong atau dalam pembinaan.





