TAPAH - Ketua Polis Balai Chenderiang meninggal dunia, lewat petang tadi selepas basikal ditunggangi hilang kawalan sebelum terjatuh di laluan Jalan Damai hadapan Taman Kuda Mas.

Dalam kejadian jam 6.40 petang itu, mangsa, Sarjan Mejar Raja Rohamli Raja Othman, 56, disahkan maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati, insiden terbabit tidak melibatkan kenderaan lain dan mangsa dipercayai mengayuh basikal secara berseorangan.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan menuju ke Pekan Tapah.

"Sampai di lokasi kejadian, mangsa dipercayai terjatuh sendiri dan mengalami kecederaan parah di kepala.

"Pihak hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata, cuaca dilaporkan baik ketika insiden itu berlaku.

"Basikal berwarna hitam digunakan mangsa turut berada di lokasi, namun kedudukannya telah diubah," katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siadat dan siasatan lanjut dilakukan dibawah Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.