• Antara pilihan komik terdapat di pasaran. Antara pilihan komik terdapat di pasaran.
1 /

BERA - Komik merupakan bahan bacaan paling santai dan ringan boleh dibaca semua peringkat umur, tetapi ia bergantung kepada jalan penceritaannya.

Lambakan buku komik di pasaran kini bukan sahaja dihasilkan anak tempatan, malahan turut diimport dari negara luar yang dialih bahasa.

Ada di antara kita menganggap bacaan komik boleh menambah ilmu pengetahuan, namun ada juga berpendapat ia perkara tidak berfaedah.

Pengerusi Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) PAKR, Mohd Adha Hamzah berkata, komik sememangnya digemari golongan kanak-kanak hingga dewasa bergantung kepada jenis bahan bacaan tersebut.

Menurutnya, sekiranya golongan kanak-kanak, mereka lebih menggemari komik lebih ringan dan mudah dari segi bahasa untuk difahami.

“Selalunya, penggunaan bahasa dalam komik di peringkat kanak-kanak adalah lebih teratur. Namun, kebanyakan komik tersebut dialih bahasa menyebabkan ada perkataan tertentu tidak sesuai digunakan.

“Keadaan itu boleh menjejaskan tatabahasa kanak-kanak, sedangkan apa dipelajari mereka di sekolah adalah berbeza,” katanya.

Mohd Adha berkata, pembacaan komik sebenarnya dapat membantu merangsang minda dan imaginasi kanak-kanak.

Walaupun kedengaran pelik dan lucu, tetapi itulah diamalkan di beberapa negara maju untuk membantu perkembangan pertumbuhan kanak-kanak.

Cari komik bermutu

Pesara guru, Noraini Arifin, 56, berkata, tidak dinafikan bahan bacaan komik boleh membantu kanak-kanak atau remaja untuk mengamalkan budaya membaca.

Katanya, budaya membaca dalam kalangan rakyat negara ini masih rendah berbanding negara lain dan pemilihan komik adalah bertepatan kerana ia lebih santai.

Menurutnya, tiada salahnya individu membaca komik, asalkan bahan tersebut bermutu untuk membantu menambahkan ilmu pengetahuan seiring dengan budaya membaca diamalkan mereka.

“Secara peribadi, ramai dalam kalangan orang kita malas membaca. Jadi, sekurang-kurangnya kalau mereka membaca komik, dapatlah mengubah sikap tersebut.

“Mungkin, jika bermula daripada komik, mereka akan beralih kepada bahan bacaan ilmiah lebih serius,” katanya.

Noraini berkata, ibu bapa juga perlu memainkan peranan mereka untuk memberi galakan kepada anak-anak untuk membaca komik.

Tetapi katanya, komik tersebut perlulah bermutu dari segi penulisan atau lukisan memandangkan ia akan mempengaruhi pembacanya.

“Kalau boleh, pelukis boleh menghasilkan komik yang baik iaitu sesuai dengan budaya negara ini,” katanya.

Pantau komik berunsur lucah

Walaupun ramai setuju komik merupakan bahan bacaan awal paling bagus, tetapi ia perlu dipantau dari semasa ke semasa terutama membabitkan komik berunsur lucah.

Dengan gejala sosial semakin meningkat, komik seumpama itu sebenarnya boleh menjadi penyumbang kepada aktiviti tidak bermoral seperti perhubungan seks luar nikah.

Seorang penjaga, Norazimah Shahid, 47, berkata, anaknya sendiri ada menjadikan komik sebagai bahan bacaan pada waktu lapang untuk melepaskan tekanan selepas belajar.

Menurutnya, pihak berkenaan perlu memastikan tiada unsur seks kerana kebanyakan komik dijual pada harga murah dan mudah diperoleh pelajar.

“Saya percaya ada komik berunsur lucah dijual tapi bukan secara terbuka. Jadi, pihak berkenaan perlu menyelidik perkara ini.

“Kita bimbang pelajar boleh mendapatkan komik itu hingga mempengaruhi mereka melakukan perkara buruk,” katanya.

Dia berkata, tidak semestinya komik dijual secara terang-terangan tidak mengandungi unsur lucah.

Menurutnya, ada masanya lukisan seperti pakaian terlalu terdedah pada watak dalam komik juga boleh dikategorikan berunsur lucah.

“Walaupun sekadar komik, tetapi ia sebenarnya imaginasi pelukis untuk menggambarkan seseorang. Kebanyakan komik pula diimport dari negara luar.

“Sehubungan itu, semua pihak perlu memainkan peranan dan tidak hanya meletakkan tanggungjawab pada satu pihak. Kewujudan komik bukan sekadar mencari keuntungan semata-mata, tetapi turut memberi ilmu kepada pembaca,” katanya.