KUALA LUMPUR - "Nyahkan sahaja parti politik sekiranya menifesto politik mereka tidak mempunyai agenda Melayu dan Islam," kata Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yahya.

Menurutnya, jika dahulu tiada orang Melayu mengaku sebagai gay, Melayu mendakwa diri bukan muslim dan tiada orang mempertikai hak bumiputera.

"Malah, beberapa hari lalu ada penceramah luar yang berani menempelak isu bumiputera. Lebih merisaukan, ramai orang Melayu yang menerimanya.

"Ini jelas bertentangan dengan perlembagaan dengan mencabarnya dan mempertikaikan perundangan," katanya dalam Konvensyen Kebangkitan Ummah, di Pusat Islam, di sini, hari ini.

Beliau berkata, apa yang dilihat hari ini, tiada suara kuat daripada golongan pemerintah berhubung isu ini.

Tambahnya, jadi, kita sebagai rakyat biasa ini terkapai-kapai.

"Mana satu (parti) kita hendak pilih. Kita tidak boleh lagi harapkan parti politik, NGO harus bangun...kita semua berhak memilih.

"Andai kata parti politik yang bertanding nanti tiada agenda Islam dan Melayu, tidak layak pimpin negara ini. Kita nyahkan mereka," katanya.