SUBANG JAYA - Kesatuan Kebangsaan Anak -anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) menggesa Khazanah Nasional (Khazanah) memperjelaskan krisis dalaman yang melanda Malaysia Airlines (MAS), selain tindakan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad (MAB), Peter Bellew melepaskan jawatannya.

Presiden Nufam, Ismail Nasaruddin berkata, timbul persoalan mengapa syarikat penerbangan nasional itu berdepan krisis sedangkan pelaksanaan 12 bidang tumpuan utama di bawah Pelan Pemulihan MAS (MRP) belum selesai.

Menurutnya, ia menampakkan betapa teruknya masalah itu dan pihaknya tahu apa berlaku yang didakwa berpunca daripada Khazanah.

"Khazanah tidak tahu bagaimana untuk menjalankan operasi syarikat penerbangan. Mereka pandai beri arahan dan gunakan nama kerajaan untuk menolak beberapa perubahan dalam syarikat.

"Malah, Lembaga Pengarah di MAS juga tidak tahu mengenai Peter Bellew mahu melepaskan jawatan, jadi mengapa ini berlaku? Adakah Khazanah tidak tahu mengapa Peter Bellew meninggalkan MAS?," katanya kepada pemberita pada sidang media di Empire Subang, di sini hari ini.

Beliau berkata, Nufam menggesa Khazanah berhenti berdalih dalam isu tersebut.

Katanya, ramai orang berkorban nyawa untuk memulihkan MAS tetapi kini Bellew tiba-tiba meninggalkan semua projek syarikat.

"Adakah ketua pegawai eksekutif baharu nanti tahu bagaimana hendak mengendalikan semua struktur MAS yang sebelum ini dikendalikan Peter Bellew? Adakah pihak ini berpengalaman di dalam industri penerbangan?

"Sampai bila MAS mahu menjadi macam ini? Ini adalah kali ketiga seorang ketua pegawai eksekutif di MAS meninggalkan syarikat dalam tempoh tiga tahun.

"Kami tidak melihat MAS memenuhi objektif perkhidmatan sebenar mereka yang dahulu dibina atas dasar berkhidmat kepada komuniti rakyat Malaysia, bukan melayani kerenah atau kemahuan sesetengah individu sahaja," katanya.

Ditanya siapa calon terbaik yang layak untuk menggantikan Peter Bellew, Ismail enggan menyebut sebarang nama namun berharap  individu dipilih nanti adalah yang terbaik dari segi komitmen dan kerja seperti Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tony Fernandes.

Beliau berkata, Nufam mendesak semua pihak pengurusan Khazanah ditarik balik daripada MAS selain bertanggungjawab dengan krisis yang melanda.

"Saya harap mereka dapat serius dalam selesaikan masalah ini sebab saya tidak tahu apa 'magic' lagi yang boleh dibuat bagi menyelesaikan isu MAS ini," katanya.

Bellew dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines pada Julai 2016.

Bellew sebelum ini menafikan peletakan jawatannya ada kaitan dengan campur tangan dari Khazanah mahu pun kerajaan dalam pengurusan syarikat penerbangan negara itu.

Sebaliknya, Bellew dilaporkan akan meninggalkan MAB untuk kembali semula ke Ryanair Ltd. (Ryanair) dan memegang jawatan sebagai ketua pegawai operasi pada 1 Disember ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • DAMANSARA - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines, Peter Bellew menjelaskan pengundurannya daripada syarikat penerbangan itu adalah atas kehendaknya sendiri.
  • SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa peletakkan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad (MAB), Petter Bellew berpunca daripada campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
  • KUALA LUMPUR - Keputusan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines (MAS) Peter Bellew menyertai semula Ryanair yang berpangkalan di Ireland, diluar jangkaan, namun ia tidak menjejaskan agenda transformasi syarikat penerbangan negara.
  • KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menzahirkan rasa puas hati dengan hasil positif ditunjukkan oleh Malaysia Airlines (MAS), menyatakan proses penstrukturan semula berjalan lancar.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.