SHAH ALAM - Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (Nube) terkilan kerana penggabungan RHB Bank Berhad dan AMMB Holdings Berhad tidak dibincang dengan kesatuan itu, sekali gus menggambarkan sikap tidak menghormati dan membuli pekerja.

Setiausaha Agungnya, J. Solomon berkata, pengumuman penggabungan melibatkan kedua-dua bank terbabit bukan sahaja mengejutkan Nube, malah pada masa yang sama mendedahkan sikap tidak hormat RHB Bank terhadap pekerjanya.

Kata beliau, tindakan RHB yang tidak sepatutnya dilakukan menunjukkan kelonggaran diberikan oleh Bank Negara Malaysia agar pihak bank boleh membuli pekerja-pekerja bukan eksekutif dalam industri perbankan.

Solomon juga mahu Bank Negara Malaysia mengambil langkah proaktif dengan mengadakan perbincangan antara bank-bank terbabit dalam urusan penggabungan dan juga Nube supaya kesan penggabungan dapat dibincangkan dan 1 penyelesaian dicapai.

Katanya, jika pihak kesatuan dan para pekerja tidak diendahkan, Nube tiada pilihan kecuali terpaksa memulakan tindakan mengecam kekejaman terhadap pekerja-pekerja terbabit.

"Nube ada perjanjian kolektif yang meliputi hal ehwal penggajian pekerja RHB Bank, dan terdapat 1 peruntukan dalam perjanjian yang sama di mana memerlukan bank untuk mengadakan rundingan dan perbincangan dengan kesatuan dalam keadaan seperti ini."Nube hanya mengetahui mengenai rancangan penggabungan ini melalui media," kata beliau menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau yang juga setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata, pekerja-pekerja dalam industri perbankan telah melalui kesukaran yang cukup perit ekoran penggabungan dan pengambilalihan yang pernah disaksikan sebelum ini.

Katanya, pendekatan sedemikian membawa kepada kehilangan pekerjaan, yang turut telah memberi kesan kepada ekonomi negara.

"Justeru, tiada sebab untuk mengabaikan kesatuan, perjanjian kolektif dan pekerja-pekerja terbabit.

"Pekerja-pekerja negara ini adalah nadi kepada pertumbuhan ekonomi dan tidak boleh dilayan dengan cara seperti ini."

Solomon berkata, pekerja-pekerja yang terbabit boleh dilatih semula untuk terlibat dalam kerja-kerja jualan dan perbankan dalam talian.

Awal bulan ini, RHB dan AmBank mengumumkan Bank Negara Malaysia meluluskan hasrat mereka untuk memulakan perbincangan bagi tujuan penggabungan.

Sumber dipetik Reuters berkata RHB akan menjadi pemeroleh dalam penggabungan berpotensi itu yang dianggarkan bernilai kira-kira AS$9 bilion (RM38.59 bilion). Reuters menambah kedua-dua bank tersebut mempunyai sejumlah 25,000 pekerja apabila bergabung.

Kata Solomon: "Adakah kita mahu mewujudkan sebuah bank yang besar bagi industri untuk beroperasi sebagai oligopoli?"

"Kita telah melihat apa yang berlaku di Barat dengan krisis kewangan global. Dalam analisis akhir, apabila terjadinya kegagalan, pembayar cukai biasa akan menjadi orang yang menyelamatkan industri besar seperti itu," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - - Kesatuan Pekerja-pekerja Bank Kebangsaan (Nube) kesal dengan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Si Khalid Abu Bakar yang mendakwa piket NUBE di Segamat sejak kelmarin berunsur politik.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.