Datuk Seri Noh Omar
Datuk Seri Noh Omar

SHAH ALAM – Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar dijemput hadir sepanjang sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas berhubung Keupayaan, Kebertanggung jawaban dan Ketelusan (Selcat) berlangsung supaya dapat berikan maklumat dan bukti apa yang didakwa penyelewengan dalam KSSB.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin berkata, kehadiran Noh pada sesi pendengaran tersebut amat penting, selain dapat menunjukkan keikhlasan beliau dalam membanteras rasuah, beliau juga boleh mendapat idea, inspirasi dan semangat untuk melakukan perkara yang sama dalam pentadbiran Kerajaan Pusat Barisan Nasional (BN).
 
“Meskipun ramai sangsi kesediaan Noh untuk hadir pada sesi tersebut kerana berpendapat bahawa dia (Noh) berkobar-kobar dalam isu KSSB semata-mata mahu menutup skandal NFC yang telah mempalit lumpur kepada Umno dan seluruh kabinet BN, namun saya masih mahu memberi faedah dari keraguan kepada beliau.
 
“Justeru itu, kita mencabar, jika benar ketelusan yang mahu diperjuangkan oleh Noh, maka Kerajaan Pusat atau Noh selaku Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani turut mengadakan sesi pendengaran awam atau mahkamah rakyat bagi membongkar isu NFCorp,” katanya melalui kenyataan akhbar di sini semalam.
 
Faekah berkata, kesediaan mengadakan pendengaran awam terhadap KSSB, Yayasan Selangor dan dua anak syarikat Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPS) membuktikan Kerajaan Negeri bersungguh-sungguh membanteras penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pentadbiran negeri.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.