JOHOR BAHRU -  Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (Niosh) mengesan ada dalam kalangan majikan di negara ini yang bertindak menyediakan peralatan keselamatan yang tidak berkualiti semata-mata untuk menjimatkan kos operasi syarikat.
    
Pengerusi Niosh Tan Sri Lee Lam Thye berkata perkara demikian boleh mendatangkan bahaya kepada pekerja terutama mereka yang bekerja dalam industri berisiko tinggi seperti industri gas dan minyak, kimia dan pembinaan.
    
"Saya tahu ada majikan di negara ini yang didapati tidak menyediakan peralatan berkualiti kepada pekerja mereka dan ini dibuat kerana hendak menjimatkan kos.
    
"Tetapi nasihat saya kepada majikan ialah sungguhpun mereka berhak sebagai majikan untuk jimatkan kos dalam operasi tetapi ini tidak boleh dibuat dengan mengorbankan keselamatan pekerja mereka," katanya.
    
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini hari ini selepas merasmikan majlis pelancaran seminar berkaitan respons kecemasan kebakaran dan perlindungan kimia di pejabat Niosh cawangan selatan di sini hari ini.
     
Lee berkata majikan yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan denda mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
    
"Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan memang menghendaki majikan untuk menyediakan barangan berkualiti baik, dan pekerja yang tidak memakainya, ada peraturan tertentu yang memperuntuk mereka dikenakan tindakan," katanya.
    
Beliau berkataa keselamatan dan kesihatan pekerjaan termasuk alam sekitar semakin hari semakin penting dan di mana-mana tempat kerja pihak majikan mempunyai tanggungjawab untuk pastikan bahawa pekerja mereka dapat bekerja dalam persekitaran selamat dan sihat.
    
Beliau berkata kemalangan di tempat kerja boleh dielak dengan menggunakan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang diwujudkan oleh pihak majikan.
    
Dalam hal ini, katanya, pekerja turut terlibat memainkan peranan memastikan pengurusan dalam soal ini dapat dijalankan dengan baik dan lancar.    

Selain itu majikan juga diseru memberikan peluang kepada eksekutif mereka untuk diberikan pendedahan tentang aspek kesihatan dan keselamatan pekerjaan melalui seminar dan kursus. - Bernama