• Nik Aziz (dua kiri) meninjau keadaan kawasan hakisan di Pulau Gorek, Badang bersama Ketua jajahan Kota Bharu, Adnan Hussin (kiri). Nik Aziz (dua kiri) meninjau keadaan kawasan hakisan di Pulau Gorek, Badang bersama Ketua jajahan Kota Bharu, Adnan Hussin (kiri).
1 /

KOTA BHARU - Di sebalik isu Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu muncul dalam televisyen berhubung isu Amanat Haji Hadi, Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula berkata, beliau juga layak untuk bercakap menerusi media elektronik bagi memberi penjelasan tentang perjuangan Pas.

Bagi tujuan itu, beliau bersedia bila-bila masa bagi menerangkan perjuangan sebenar Pas yang menurut parti itu kini disalahertikan oleh pelbagai pihak.

“Kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW wajib menyebarkan kebenaran kepada setiap umat di dunia tidak kira Islam atau sebaliknya, jadi sesungguhnya sebagai negara demokrasi kerajaan perlu memberi peluang kepada Pas untuk memberi penjelasan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kawasan hakisan ombak di Kampung Pulau Gorek, Badang di sini, pagi ini.

Baru-baru ini, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menyatakan kesediaannya muncul dalam televisyen bagi menjawab apa jua soalan yang dikemukakan semasa sesi penjelasan isu Amanat Haji Hadi menerusi siaran langsung televisyen RTM dan TV3 yang dimintanya.

Namun dalam timbal balas yang diterima, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim dalam kenyataan berkata, pihaknya tiada masalah untuk menyiarkan penjelasan Abdul Hadi namun ia perlu dibuat secara rakaman dan bergantung terhadap pertimbangan RTM sama ada sesuai dijadikan bahan berita atau sebaliknya.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, dalam isu penyiaran terbabit, seharusnya sebagai kerajaan yang ditadbir oleh pemimpin beragama Islam, pihak terbabit perlu memberi peluang sama rata dan adil bagi menegakkan kebenaran.

“Saya menyokong penuh kewibawaan Hadi yang bersedia menjelaskan amanatnya di televisyen, namun ia perlu disiarkan secara langsung dan bukannya rakaman seperti kenyataan Rais.

“Susah apa jika disiarkan secara langsung, negeri kita demokrasi, harta benda kerajaan menjadi hak semua jika cukup umur. Dia (Hadi) merupakan lulusan universiti, pernah jadi wakil rakyat dan Menteri Besar Terengganu, jadi beliau mempunyai hak untuk bersuara,” katanya.

Nik Aziz berkata, adalah sesuatu yang  menyedihkan apabila isu demikian gagal diselesaikan oleh bangsa Melayu-Islam sendiri sekali gus membantut usaha untuk berdakwa kepada bangsa lain.

“Perkara ini perlu difikirkan secara rasional dan sebagai negara demokrasi kita juga berhak bersuara, jangan jadi seperti negara diktator,” katanya.