KUALA LUMPUR - Sekumpulan NGO Melayu dan Islam hari ini memberi teguran sinis terhadap Kementerian Komunikasi dan Multimedia supaya tidak tidur dan lalai terhadap penghinaan Islam khususnya kalimah ALLAH yang dilakukan secara terbuka melalui media.

Pegawai Kerja, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Mohd Mustaffa Hamzah mendakwa kelalaian pihak berkuasa itu menyebabkan kebebasan media disalahgunakan untuk kepentingan politik pihak tertentu.

"Kami menggesa Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) supaya jangan tidur, jangan lalai, pantau perkara ini (hina Islam) sebaik mungkin dan pastikan ianya tidak berlarutan dan tidak wujud lagi dalam negara kita.

"Tindakan tegas perlu diambil dengan membendung isu-isu daripada terus diputarbelitkan dan diudarakan dalam siaran radio yang boleh didengari orang ramai.

"Kami menggesa polis supaya menyiasat isu ini secepat mungkin, kalau boleh sabitkan mereka dengan Akta Hasutan," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis terhadap stesen, penyampai dan penerbit radio swasta di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Hadir sama beberapa wakil NGO lain termasuk Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Pertubuhan Pembangunan dan Kajian Insan Malaysia (Pengkaji) dan Pertubuhan Pembela Islam (Pembela).

Beliau berkata demikian mengulas tindakan pengendali stesen radio terbabit menyiarkan wawancara dengan sarjana Islam yang menyokong penggunaan kalimah ALLAH untuk bukan Islam.

Dalam wawancara pada 21 Oktober itu, penulis Amerika Syarikat itu berkata, dunia mentertawakan Malaysia selepas Mahkamah Rayuan memutuskan kalimah ALLAH untuk kegunaan orang Islam sahaja.

Dalam pada itu, Mohd Mustaffa berkata, pihaknya mendengar sendiri siaran radio tersebut pada Jumaat lalu yang membincangkan kalimah ALLAH secara terbuka.

"Saya telah mendengar siarannya dan juruhebahnya membincangkan tajuk utama kalimah ALLAH, isu daging korban dan isu hak orang Melayu.

"Pada hari sama juga, juruhebah lain, bukan beragama Islam juga membincangkan isu agama Islam dan isu pakai tudung.

"Dalam siaran itu saya dapati ada unsur penghinaan dan hasutan terhadap agama Islam," ujarnya yang juga antara kandungan laporan polis mereka, pada hari ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :