SHAH ALAM- Lebih 40 NGO akan menyerahkan memorandum bantahan kepada Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Bukit Damansara pada 30 November ini berhubung memorandum persefahaman (MoU) membabitkan etnik Rohingnya yang dimeterai Myanmar dan Bangladesh.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, memorandum bantahan itu juga akan diserahkan kepada Kedutaan Bangladesh pada hari sama.

Katanya, memorandum berkenaan adalah sebagai tanda protes kerana pihaknya berasakan MoU untuk penghantaran semula pelarian Rohingnya kembali ke tempat asal itu tidak akan menyelesaikan krisis itu.

"Jika tindakan itu dilakukan, etnik Rohingnya terbabit belum tentu selamat kerana mereka adalah golongan yang 'diburu'. Jadi tindakan menghantar pulang semula etnik ini ibarat memberi peluang untuk mereka 'disembelih’," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman sebelum ini dilaporkan berkata usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperjuangkan isu Rohingnya di pentas antarabangsa mula membuahkan hasil apabila Myanmar berusaha mengambil langkah menyelesaikan krisis Rohingya di wilayah Rakhine, Myanmar.

Menurut Anifah, Penasihat Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi, yang mengetuai delegasi negara itu ke Sidang Kemuncak Asean ke-31 di Manila baru-baru ini, menyatakan bahawa Myanmar dan Bangladesh dijangka menandatangani MoU untuk penghantaran semula pelarian Rohingya kembali ke tempat asal.

Lebih 600,000 penduduk Rohingya di wilayah Rakhine melarikan diri ke Bangladesh berikutan serangan tentera Myanmar terhadap orang awam dengan alasan memerangi militan bersenjata, sejak 25 Ogos lalu.

Mohd Azmi berkata pihaknya mahu supaya perbincangan antara Myanmar dan Bangladesh mengenai krisis pelarian Rohingnya turut disertakan sekali aspek perlindungan dan pampasan untuk etnik berkenaan.

“Kami mahu PBB mengikuti perbincangan ini dengan rapat kerana kami bimbang walaupun penderitaan etnik Rohingya telah mencetuskan bantahan di peringkat antarabangsa, tiada tindakan konkrit diambil untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai.

“…dan sekiranya MoU itu telah dimuktamadkan, kami menyeru kepada PBB supaya memastikan laluan yang selamat untuk etnik Rohingnya kembali ke tempat asal mereka,” katanya.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan kerajaan Bangladesh digesa memainkan peranan lebih serius berhubung pelan penghantaran pulang pelarian Rohingya di Bangladesh ke Myanmar.
  • COX'S BAZAR - BANGLADESH. Melihat sendiri seorang ibu muda etnik Rohingya terpaksa menyuap rumput kepada anaknya demi kelangsungan hidup antara realiti pilu yang meninggalkan kesan cukup mendalam bagi seorang sukarelawan di kem pelarian di Cox's Bazar.
  • SEPANG - "Usaha Malaysia membantu pelarian Rohingya termasuk membina hospital medan di Kem Pelarian Kutupalong, Bangladesh adalah tepat serta bukan satu pembaziran," demikian kata delegasi Parlimen Malaysia yang baru pulang daripada melawat kem pelarian itu hari ini.
  • KUALA LUMPUR - Kira-kira 12 ahli parlimen Malaysia dari pihak kerajaan dan pembakang akan mengadakan lawatan ke kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazaar Bangladesh, Sabtu ini.