IPOH - Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad hari ini mencabar Nga Kor Ming membuktikan setiap nama daripada 165,000 pemilih yang didakwanya pengundi hantu itu adalah memang tidak wujud kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya jika Pengerusi DAP Perak itu gagal membuktikan dakwaannya, beliau perlu memohon maaf kepada masyarakat kerana berbohong bagi mendapat sokongan pengundi.

"Tolong buktikan kepada SPR bahawa 165,000 nama (dengan) setiap satu (nama) adalah pengundi hantu, jangan main celup (pilih), semborono atau secara rawak.

"Buktikan orang itu adalah pengundi hantu dalam maksud sebenar iaitu orang itu tidak wujud tetapi namanya ada,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Saarani mengulas kenyataan Nga baru-baru ini yang mendakwa pihaknya mempunyai bukti mengenai kewujudan lebih 165,000 pengundi hantu dibawa masuk ke Perak menjelang PRU14.

Minggu lepas, Nga melemparkan tuduhan terhadap BN  melalui laman Twitter miliknya dengan mendakwa BN telah membawa 56,323 pengundi hantu ke Perak.

Mengulas lanjut, ​​​​​​​Saarani berkata beliau percaya selepas ini jumlah pengundi hantu yang didakwa pembangkang akan meningkat sehingga 200,000 kerana mereka semakin gusar akan kekalahan yang akan dialami pada pilihan raya akan datang.

 “Katanya (pembangkang) jika SPR tidak mahu memutihkan senarai 165,000 pemilih, maka mereka mahu buat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya nak cabar silakanlah kerana pada saya masa itu sudah tamat dia patut buat dulu bukan sekarang,” katanya. - Bernama

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah menegaskan, tidak wujud sama sekali pengundi hantu dalam sejarah pilihan raya di Malaysia seperti yang didakwa sesetengah pihak.
  • KUALA LUMPUR - - DAP hari ini mempersoalkan jumlah perbelanjaan yang dibayar untuk rombongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke luar negara yang dikatakan terlalu tinggi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.