CYBERJAYA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui negara tidak boleh mencapai matlamat untuk memenuhi Wawasan 2020.

Beliau berkata, ini kerana kerajaan ketika ini tidak memahami tafsiran negara maju yang sebenar.

Menurutnya, kerajaan berpendapat, negara maju bermaksud Pendapatan Negara Kasar (GNI) perkapita mesti mencapai AS$16,000.

"Tetapi itu bukan tafsiran negara maju. Negara maju ialah negara yang maju dalam semua bidang termasuk bidang ilmu, penyelidikan dan pembangunan, kapasiti industri serta kebolehan sebagai negara yang ada pengaruh di dunia.

"Oleh kerana tafsiran negara maju tak kena, maka sukarlah kerajaan mencapai matlamat membangunkan negara kita menjadi negara maju pada 2020 iaitu dua tahun dari sekarang," katanya dalam forum Bicara Wawasan 2020, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Pengerusi Bersatu itu berkata, Malaysia masih boleh mencapai negara maju sebelum 2050 jika tafsiran itu diperbetulkan.

"Mungkin kalau kita beri masa yang lama, tidaklah sampai 2050 tapi lebih awal lagi. Kalau tafsiran negara maju itu tepat dan kita usaha ke arah itu, saya fikir kita masih boleh capai ke arah negara maju tapi bukan pada 2020," katanya.

Wawasan 2020 diperkenalkan Mahathir ketika bergelar perdana menteri yang bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian dan maju sepenuhnya menjelang tahun 2020.

Menjawab soalan peserta sama ada sikap orang Melayu menjadi punca Wawasan 2020 tidak boleh dicapai, Mahathir berkata, orang Melayu mempunyai kebolehan seperti bangsa lain namun bermasalah dari segi budaya.

"Budaya bermakna nilai hidup yang kita pegang. Kalau budaya kita sesuai dengan kemajuan, kita akan maju kerana kita sudah ada kebolehan.

"Tetapi kita kurang tekun, kurang rajin bekerja dan tidak amanah. Kalau boleh kita nak kerja mudah saja tak nak buat kerja berat, itu yang jadi masalah," katanya.

Forum yang dihadiri kira-kira 200 orang itu turut disertai Pengasas Kumpulan Sigur Ros, Mohd Azmadi Fadzil dan Ketua Kumpulan Eksekutif hartabumi.com, Radzi Tajuddin sebagai ahli panel serta Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Abdul Rahman sebagai moderator.

Selain mendengar pandangan Mahathir mengenai Wawasan 2020, peserta turut diberi peluang mengemukakan idea bagi mencapai negara maju.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Wawasan 2020 tidak gagal sepenuhnya, sebaliknya negara berjaya meraih banyak kejayaan dari sudut ekonomi melalui pelbagai indikator.
  • SHAH ALAM - Wawasan 2020 bukan sebuah kegagalan, tetapi banyak faktor luaran yang mempengaruhi apabila matlamat itu tidak tercapai sepenuhnya.
  • KUALA LUMPUR - Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung, Datuk Nor Akhirrudin Mahmud berkata sehingga kini kawasan hutan simpan kekal mencapai keluasan 4.9 juta hektar menghampiri sasaran 5 juta hektar di Semenanjung menjelang 2020.
  • KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyuarakan keyakinan beliau bahawa Malaysia mampu merealisasikan status negara maju sebenarnya menjelang 2020 menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP).