KUALA LUMPUR – Secara terbuka, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyatakan sokongannya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sepanjang 28 tahun menjadi ahli politik, Mohamed Nazri menegaskan, beliau tidak pernah ada rekod melawan Perdana Menteri.

Katanya, beliau tiada masalah menyokong  Dr Mahathir kerana Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu merupakan perdana menterinya pada zaman dahulu (BN).

“Tiada masalah, beliau perdana menteri  saya dahulu , saya tak pernah tinggalkan Umno, beliau (Mahathir) tinggal Umno , tapi beliau perdana menteri sekarang, kita kena sokonglah, saya tiada rekod  lawan perdana menteri.

“Saya ahli politik 28 tahun dalam kerajaan, tapi selepas 28 tahun saya nak bangkang kerajaan susahlah, melainkan mereka ada buat kesalahan, saya tiada budaya menentang perdana menteri.

“Itu bukan budaya saya , (saya) rasa rakyat telah buat keputusan seperti PRU14, selepas keputusan sudah dibuat nak lawan apa lagi? Beri peluang tunggulah dua tahun sebelum PRU15 kita tengoklah nanti,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Nazri turut mendukung siasatan dan tindakan undang-undang yang dilaksanakan dalam pentadbiran Dr Mahathir, hari ini.

“Kita sokong tindakan perdana menteri buat, seperti yang dibuat sekarang. Tapi berkenaan  pendedahan yang dibuat, saya tak tahu  ia wujud masa dalam kerajaan sebelum ini.

“Saya tidak tahu  tentang perhiasan (Datin Seri) Rosmah, saya tak tahu SRC International, saya tidak tahu, jadi kita kena benarkan perdana menteri untuk buat penyiasatan dan kalau ada kes prima facie dakwalah.

“Saya juga baru tahu duit RM100 juta, tak kan saya nak marah perdana menteri kalau beliau buat macam tu , itu sahaja , kita kalau bantah ia konstruktif, kita nak bantah buat apa, biar beliau  siasat, saya tidak tahu masa saya menteri... saya tidak pernah dimaklumkan ada duit, ada Jho Low, saya tidak didedahkan,” luahnya.

Tanpa berselindung, bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu turut menyatakan sokongannya terhadap siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Malah beliau menyatakan terkejut dengan pendedahan yang dibongkarkan berkaitan penyelewengan syarikat milik kerajaan itu.

“Terkejut, saya terkejut sebab saya percaya kita sebagai ahli parti macam zaman Tun Mahathir dululah beliau presiden apa dia cakap kita tak siasat dah , tuduh Anwar begitu begini kita setia begitu juga.

“Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan (Datuk Seri) Najib kalau apa yang mereka tak cerita pada kita, kita sokong. Tapi sekarang baru kita tahu sebab itu saya duduk diam, saya pilih untuk  tak cakap banyak sebab saya nak tengok apa lagi yang akan keluar,” katanya.

Sebelum ini, ketika PH masih lagi pembangkang, Mohamed Nazri dengan lantang mengkritik Dr Mahathir.

Malah, pada April tahun lalu, Mohamed Nazri  menyahut cabaran Dr Mahathir untuk berdebat isu 1MDB dan skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF), namun debat itu terpaksa dibatalkan atas faktor keselamatan.