MUAR - Setelah empat hari bertarung nyawa selepas di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), bayi malang berusia 10 bulan yang parah di kepala sebelum ini Naufal Amsyar meninggal dunia kira-kira jam 9.20 pagi tadi.

Perkara itu disahkan sendiri oleh bapanya, Nabil Fikri Anwar, 28, yang memaklumkan bayi tunggalnya telah kembali ke rahmatullah.

“Assalamualaikum. Mohon sedekahkan Al-Fatihah buat anak saya Naufal Amsyar Bin Nabil Fikri yang telah kembali ke rahmatullah pada pukul 9 pagi tadi (di Hospital Pakar Sultanah Fatimah),” katanya melalui aplikasi Whatsapp, sebentar tadi.

Selasa lalu, Naufal Amsyar yang dijaga seorang pengasuh wanita dimasukkan ke hospital selepas dipercayai diserang sawan sebelum pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam di dahi kiri, pendarahan mata dan retak tempurung kepala.

Polis juga telah menahan pengasuh berusia 35 tahun itu sejak Khamis lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

[ARTIKEL BERKAITAN: Bayi 10 bulan cedera dipercayai jatuh buaian]