SHAH ALAM - Muslim Volunteer Malaysia (MVM) akan menyertai misi kemanusiaan Ramadan ke Syria bagi membantu pelarian di sana melaksanakan ibadah puasa.

Penolong Pengurus Unit Program dan Komunikasi MVM, Muhammad Islahuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya setakat ini berjaya mengumpulkan dana hampir RM300,000 untuk disalurkan kepada warga Syria.

“Kami akan berangkat ke Syria pada 4 Jun hingga 13 Jun ini melalui misi bersama Global Peace Mission Malaysia. Kita akan salurkan bantuan dari segi wang ringgit.

“Di sana kelak, kami akan turut mengadakan pelbagai program dengan warga Syria termasuklah iftar bersama,” katanya ketika ditemui di program Iftar Cahaya Ramadan MVM 2018, di sini, semalam.

Katanya, selain Syria, MVM juga telah menyertai misi kemanusiaan ke kem pelarian warga Rohingya di Bangladesh pada 27 Mei hingga semalam.

“Bagi misi ke Rohingya kami berjaya kumpulkan dana sebanyak RM200,000. Pelarian Rohingya masih memerlukan bantuan berterusan khususnya makanan yang berkhasiat,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 140 kerusi terjual pada majlis berkenaan bagi mengumpul dana menjalankan misi kemanusiaan Rohingya dan Syria.

Antara yang menyumbang ialah Prof Muhaya Eye and Lasik Centre, Cinta Syria Malaysia, Persatuan Kebaikan Kakitangan Islam MPOB dan Malaysia Life Line Malaysia.

Kira-kira 20 kanak-kanak Rohingya dan Syria dari Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Ikhwaniah dan Pusat Bimbingan Alternatif CSM III turut dirai dan diberi sumbangan duit raya pada majlis berkenaan.