SYDNEY – Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak berkata situasi di negeri  Rakhine di Myanmar dan penderitaan etnik Rohingya dan perpindahan mereka tidak boleh lagi dianggap sebagai isu domestik.

Masalah itu, tegasnya tidak harus  dilihat daripada aspek kemanusiaan sahaja kerana ia berpotensi berkembang menjadi ancaman keselamatan yang serius terhadap rantau ini.

“Rakhine, yang ribuan penduduknya berasa kecewa dan putus asa dan melihat tiada harapan masa depan, boleh menjadi ‘tanah subur’ bagi radikalisasi dan direkrut oleh kumpulan-kumpulan sekutu Daesh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucap tama pada majlis penutupan Persidangan  Pencegahan Keganasan yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak Khas Asean-Australia di sini pada Sabtu.

Najib berkata Malaysia bersedia untuk membantu dalam mencari penyelesaian yang adil dan berkekalan, “sebagaimana langkah diambil  Malaysia dengan berkerjasama  dengan jiran-jirannya dalam proses damai di selatan Filipina dan di selatan Thailand.

“Kita perlu berjaga-jaga dan meningkatkan kerjasama kita, kerana kejatuhan kawasan yang menjadi kubu Daesh di  Iraq dan Syria telah memaksa kumpulan itu “melakukan gerakan bawah tanah” dan muncul di tempat lain, khususnya di zon-zon krisis yang akan membolehkan ia bertapak dan beroperasi.

“Kita perlu mengambil iktibar daripada rampasan di Marawi dan perlu betul-betul bimbang akan hakikat bahawa sekurang-kurangnya 10 kumpulan militan di Mindanao telah mengikrarkan sokongan mereka kepada Daesh,” kata  Najib.

Sidang kemuncak khas itu berlangsung selama dua hari bermula Sabtu.

Sementara itu, Kaunselor Negara Myanmar Aung San Suu Kyi mengetuai delegasi negara itu pada sidang kemuncak ini.

Media antarabangsa melaporkan keganasan dilakukan pasukan keselamatan Myanmar terhadap penduduk Islam Rohingya di negeri Rakhine merupakan yang terburuk dalam sejarah republik itu, dengan banyak etnik Rohingya terpaksa melarikan diri ke Bangladesh dan sebahagiannya  terperangkap di kawasan pergunungan tanpa bekalan asas. - Bernama