SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak terus bergurau di laman twitternya dengan memuat naik status yang dilihat seakan-akan sindiran buat PKR.

“Bermula esok (semalam), perjalanan untuk melawat kenalan di Sungai Buloh dari Kajang akan menjadi lebih mudah dan selesa! #JomNaikMRT,” tulis beliau malam tadi.

Hari ini, Najib melancarkan fasa kedua laluan Transit Aliran Massa (MRT), menghubungkan Sungai Buloh dan Kajang.

Status itu dikatakan sindiran halus yang ditujukan kepada PKR.

Terdahulu, Najib turut memuat naik status yang dilihat turut menyindir PKR berkaitan Langkah Kajang.

“Langkah Kajang sebenar. Datang kepada anda dalam tujuh hari,” tulisnya pada gambar papan tanda stesen MRT Kajang.

Langkah Kajang merupakan ungkapan yang digunakan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2014 bagi memastikan penyandang jawatan Menteri Besar ketika itu Tan Sri Khalid Ibrahim digugurkan dari kedudukan pentadbiran kerajaan negeri.

Bermula jam 4.00 petang ini, perkhidmatan MRT laluan kedua antara Kajang dan Sungai Buloh sudah boleh digunakan oleh orang awam.

Ini sejajar dengan sasaran tingkatkan penggunaan pengangkutan awam kepada 40 peratus menjelang 2030 seperti yang ditetapkan kerajaan.

Perkhidmatan MRT dijangka dapat mengurangkan kesesakan trafik dengan sasaran penurunan 160,000 kenderaan memasuki ibu kota setiap hari.

Jajaran keseluruhan laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) melibatkan 51 kilometer merentasi 31 stesen.

Ia termasuk tujuh stesen bawah tanah, dengan integrasi laluan LRT di stesen-stesen Pasar Seni, Maluri, dan Merdeka yang berintegrasi dengan stesen LRT Plaza Rakyat.

Jajaran ini turut mempunyai kemudahan sambungan dengan rangkaian LRT, monorel, KTM Komuter dan ERL di stesen Muzium Negara, yang dihubungkan dengan stesen KL Sentral.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Enam rakyat Malaysia cedera dalam kemalangan tren di stesen Transit Aliran Massa (MRT) Joo Koon di Singapura semalam, kata Wisma Putra.
  • KUALA LUMPUR - Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) akan bekerjasama dengan agensi relevan untuk mempercepatkan pembinaan projek MRT Laluan 3 (MRT3), kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Shahril Mokhtar.
  • KUALA LUMPUR - MMC Gamuda KVMRT Sdn Bhd, rakan penyampai projek bagi jajaran kedua Transit Aliran Massa (MRT) menaik taraf empat Mesin Pengorek Terowong Ketumpatan Berubah (VD TBM), untuk meningkatkan kecekapan operasi kerja-kerja menggali terowong bawah tanah bagi pembinaan MRT laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP).
  • KUALA LUMPUR - Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) perlu dilihat sebagai satu kebanggaan negara kerana menggunakan teknologi termaju pada masa kini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
  • SHAH ALAM - Pertemuan di antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald J Trump menunjukkan penghormatan yang tinggi negara itu terhadap Malaysia.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.