ALOR SETAR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani kehidupan seharian seperti biasa dan kelihatan tenang ketika percutian bersama keluarga di Langkawi.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, Najib tidak menunjukkan sebarang kegelisahan atau rungsing memikirkan pelbagai siasatan yang dikaitkan dengan dirinya, sebaliknya bersikap tenang berdepan dakwaan yang dikatakan bakal dilakukan terhadap dirinya.

Menurutnya, walaupun dikaitkan dengan siasatan, tuduhan dan pendakwaan beberapa kes, percutian Najib bersama keluarga tetap tenang, tanpa sebarang kebimbangan atau diselubungi perasaan takut.

“Kami berborak seperti biasa, turut bermain golf bersama sebelum permainan terpaksa dihentikan akibat hujan. Beliau begitu tenang, tiada rasa bimbang pada wajahnya walaupun siasatan sedang dijalankan malah melayan rakan-rakan dengan baik,” katanya, ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri, hari ini.

Ahmad Bashah berkata, sepanjang empat hari meluangkan masa bersama Najib di Langkawi, bekas Perdana Menteri itu dilihat ceria dikelilingi anak, menantu dan cucunya serta rakan-rakannya yang turut serta memeriahkan percutian itu.

“Kami tak ada bincang perancangan lain selain berbual santai, Najib memang suka bercuti di Langkawi dan ia antara destinasi pelancongan kegemaran beliau,” katanya.

Difahamkan seramai 13 ahli keluarga Najib bercuti di pulau legenda itu sejak Sabtu lalu dan pulang ke Kuala Lumpur, kelmarin.

Ahmad Bashah turut kesal susulan penyebaran berita palsu berhubung percutian Najib dan keluarganya yang didakwa akan melarikan diri ke luar negara menerusi Langkawi.

“Macam-macam orang buat tuduhan, ada kata beliau menginap di hotel mewah St Regis, padahal beliau tinggal di Hotel Westin. Ada yang pertikai beliau bawa 20 hingga 30 beg, sedangkan ramai ahli keluarganya turut serta, tentulah banyak beg dibawa,” katanya.

Menurutnya, Najib turut menyuarakan rasa sedih kerana tidak sempat menunaikan janji-janji kepada rakyat Kedah dalam membangunkan beberapa projek yang dirancang.

“Beliau ada luahkan rasa kecewa kerana tak sempat bangunkan beberapa perancangan untuk majukan ekonomi negara dan Kedah. Contohnya, di Kedah, antara dirancang pembangunan Langkawi dan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ),” katanya.

Bagaimana pun, katanya, Najib akur pada pilihan rakyat dan menghormati keputusan itu.

“Beliau harap kerajaan baharu dapat lakukan untuk kukuhkan ekonomi Malaysia, perlu seiring dengan negara lain. Itu hasrat beliau, jadi beliau kecewa sedikit,” katanya.

Ahmad Bashah turut memaklumkan kepada bekas Presiden Umno itu berhubung keputusan beliau tidak mempertahan jawatan Ketua Umno Bahagian Alor Setar bagi memberi laluan kepada muka baharu.