KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selesai membayar baki jaminan sebanyak RM500,000 hari ini.

Najib yang tiba di mahkamah kira-kira jam 11.43 pagi itu diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor memasuki pejabat pendaftaran mahkamah tinggi dan menandatangani dokumen jaminan.

Para penyokong pemimpin itu yang hadir sejak awal pagi melaungkan kata-kata 'Hidup Najib dan Bebas Najib' sebaik pasangan itu tiba di mahkamah.

Bayaran jamin dibuat anak beliau, Nooryana Najwa dan Norashman yang tiba tepat pukul 10.04 pagi di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

[ARTIKEL BERKAITAN:  Anak selesai bayar jamin]

[ARTIKEL BERKAITAN: Najib didakwa tiga pertuduhan pecah amanah satu  kes rasuah]

Najib menghadapi tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, melunaskan baki bayaran jaminan berjumlah RM500,000 pada Isnin.

Beliau dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta, dengan dua orang penjamin dan mahkamah membenarkan bayaran ikat jamin itu dibuat secara ansuran pada Rabu lepas dan hari ini.

Turut kelihatan di mahkamah menantu Najib, Daniyar Kessibayev yang merupakan suami Nooryana Najwa.

Sementara itu, sejurus selepas proses ikat jamin Najib, menerima ‘Tabung Solidariti Bebaskan Najib' daripada Ketua Sekretariat Solidariti Najib Razak, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berjumlah RM489,166.

Najib bersama Rosmah kemudiannya beredar menaiki kenderaan pelbagai guna MPV Toyota Vellfire berwarna putih.

Ketika didakwa pada Rabu lepas itu, Norasman dan Nooryana Najwa, membayar wang jaminan RM500,000, separuh daripada jumlah RM1 juta dan memberi perakuan akan melunaskan bakinya sebelum 3 petang Isnin ini.