• Rosmah menyanyikan dua lagu Mandarin iaitu Gong Xi Gong Xi dan Da Di Hui Chun di hadapan ribuan pengunjung sempena Majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baru Cina anjuran BN. Rosmah menyanyikan dua lagu Mandarin iaitu Gong Xi Gong Xi dan Da Di Hui Chun di hadapan ribuan pengunjung sempena Majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baru Cina anjuran BN.
1 /

GEORGETOWN - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi mengulangi janjinya untuk membina 20,000 rumah mampu milik dan perkhidmatan monorel bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di negeri ini.

Beliau berkata demikian di Majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baru Cina, semalam.

Janji yang sama dibuat ketika melancarkan Program Jelajah Janji Ditepati di Universiti Sains Malaysia (USM) Disember tahun lalu.

Menurutnya, beliau bersungguh-sungguh ingin membantu mengurangkan masalah rakyat di negeri ini sekiranya Barisan Nasional (BN) kembali memerintah Pulau Pinang selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

“Kita dengar apa masalah rakyat dan kita tahu apa mereka mahu. Kerajaan Persekutuan akan bina 20,000 rumah mampu milik dalam masa lima tahun jika kita kembali kuasai Pulau Pinang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib menyatakan kegembiraannya apabila disambut baik rakyat di negeri ini bagi bersama-sama meraikan majlis itu.

Menurutnya, kehadiran lebih 80,000 pengunjung di Padang Kolej Han Chiang itu cukup membuat beliau dan keluarganya berasa bertuah, apatah lagi ini adalah kali pertama beliau menyambut Tahun Baru Cina di negeri ini.

“Saya amat gembira dan bertuah kerana dapat menyambut perayaan ini bersama rakyat Pulau Pinang.

“Terima kasih kerana menyambut saya, isteri dan keluarga dengan meriah sekali,” katanya.

Najib tiba dengan ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan dua anaknya, Ashman Razak dan Nooryana Najwa, serta tunang anaknya, Daniar Nazarbayez, pada kira-kira jam 10.50 pagi.

Beliau disambut oleh, antaranya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow dan Pengerusi Umno negeri, Datuk Zainal Abidin Osman.

Najib turut mengumumkan untuk menaikkan taraf Kolej Han Chiang kepada kolej universiti, dengan memberi penekanan dalam khusus pengajian komunikasi massa.