• Najib melambai tangan kepada hadirin ketika hadir merasmikan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Pahang di perkampungan nelayan Kuala Pahang, hari ini. Foto Bernama Najib melambai tangan kepada hadirin ketika hadir merasmikan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Pahang di perkampungan nelayan Kuala Pahang, hari ini. Foto Bernama
  • Kelihatan penduduk kampung berehat di wakaf yang dihiasi kain rentang RTC bagi menyambut perubahan penduduk luar bandar. Kelihatan penduduk kampung berehat di wakaf yang dihiasi kain rentang RTC bagi menyambut perubahan penduduk luar bandar.
1 /

PEKAN - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang membawa perubahan besar kepada pembaharuan luar bandar akan diperluas ke seluruh negara.

Perdana menteri berkata selain itu Medan Info Desa juga akan dijadikan mini RTC, yang bertujuan mempercepat peningkatan taraf hidup serta sosioekonomi masyarakat luar bandar.

"Sejak RTC dilancarkan kita telah dapat membuktikan bahawa strategi kita berpunca daripada idea yang bernas dan unggul, dapat membawa perubahan yang besar sehingga ke peringkat akar umbi.

"Dari kawasan yang dahulu malap dan mundur kini menjadi segar, hidup, moden dan mencapai kejayaan yang besar," katanya ketika melancarkan RTC Pahang di Kuala Pahang, dekat sini hari ini.

RTC Pahang ialah yang keempat selepas RTC Perak, Kelantan dan Melaka.

RTC berkonsepkan 'one-stop centre', sebuah hentian yang menawarkan pelbagai perkhidmatan yang dilihat mampu memberi manfaat kepada penduduk sekitar lingkungan 100 kilometer radius dalam meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat luar bandar.

Najib berkata ketika ini terdapat 77 medan info desa yang dijadikan mini RTC manakala lebih 300 lagi dalam proses untuk dijadikan mini RTC pada masa depan.

Beliau berkata, tiga RTC yang dilancarkan sebelum ini berjaya meningkatkan peluang perniagaan dan pendapatan penduduk luar bandar.

Katanya, rakyat perlu sedar bahawa program transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan telah memberi impak yang besar dan membuktikan kerajaan pimpinan Barisan Nasional berjaya mentransformasi kawasan bandar dan luar bandar.

"Kalau kita hendak buat perubahan yang besar, adakah cukup dengan slogan, apatah lagi dengan bendera besar. Perubahan besar tidak pada slogan, tonjollah apa sahaja slogan, tapi keberkesanan hanya terletak pada perancangan iaitu dengan pelaksanaan RTC, UTC (pusat transformation bandar), agenda transformasi nasional yang terbukti dapat mengubah landskap ekonomi negara.

"Boleh berubahkah dengan slogan? Boleh berubahkah dengan bendera? Cara mana hendak berubah? Cara yang dilaksanakan pimpinan kerajaan BN pada perhimpunan hari ini misalnya bukan sebab slogan semata-mata.

Program RTC dan pelbagai program yang dilancarkan kesannya amat besar, sejak empat tahun ini perubahan nyata dan jelas," katanya.

Perdana menteri berkata, menerusi RTC, penduduk kampung bukan sahaja dapat kemudahan daripada agensi kerajaan tetapi juga boleh meningkatkan dan memberi nilai tambah terhadap produk-produk yang terhasil daripada aktiviti ekonomi mereka.

Turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Pelancaran RTC Pahang itu turut dihadiri kira-kira 15,000 penduduk dari sekitar kawasan parlimen Pekan. - Bernama