LANGKAWI - Selepas berdepan pelbagai kemelut sejurus BN tumbang pada PRU14 lalu, akhirnya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berpeluang ‘makan angin’ di Pulau Langkawi.

Najib dan Rosmah bersama 12 ahli keluarga yang lain tiba di pulau peranginan bebas cukai itu pada 7.50 malam tadi untuk bercuti  sempena Aidilfitri.

Mereka sekeluarga difahamkan menginap di St Regis Hotel, Langkawi.

Ketua Umno Bahagian Langkawi,  Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata, Najib bersama ahli keluarganya sering bercuti di sini pada hari raya untuk berehat.

"Najib dan keluarga tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada jam 7.50 malam dan disambut pemimpin Umno negeri.

"Bagaimanapun, tiada perjumpaan rasmi bersama pemimpin Umno negeri diadakan. Sebaliknya, kedatangan kami hanya menyambut beliau yang mahu bercuti.

"Esok beliau (Najib) akan bermain golf dan bersantai sambil menyediakan barbeku bersama keluarganya," katanya memetik laporan Berita Harian.

Sementara itu, bekas Adun Kuah Nor Saidi Nanyan berkata, kedatangan mereka di lapangan terbang hanya sekadar ingin memberi sokongan moral kepada Najib sekeluarga.

"Tiada perjumpaan tertutup bersama pemimpin Umno sebaliknya beliau datang ke sini bersama keluarga untuk bercuti," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali mengesahkan Najib dan Rosmah masih berada dalam negara.

Menurutnya, bekas Presiden Umno itu hanya dibenarkan bercuti dalam negara kerana dihalang keluar negara oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan skandal 1MDB.

Bahkan, Mustafar turut menafikan spekulasi bahawa Najib, Rosmah dan keluarga akan menyusup ke Thailand menerusi sempadan Langkawi.