KUALA LUMPUR - “Janji kami kepada rakyat untuk kurangkan beban hutang negara, tuduhan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jelas tak ada asas,".

Demikian respon Tun Dr Mahathir Mohamad, mengkritik dakwaan Najib yang menyatakan negara akan  menanggung hutang sebanyak RM1.1 trilion jika Pakatan Harapan (Harapan) mengambil alih kerajaan Persekutuan.

Kata bekas perdana menteri itu, semua orang tahu bahawa yang naikkan jumlah hutang negara ialah masa Najib jadi perdana menteri.

"Kami punya janji nak kurangkan,apa asas Najib dakwa begitu?. Dulu masa kami ada dalam kerajaan, kita ada hutang yang banyak ka? Soal Mahathir ketika sidang media di Parlimen, hari ini.

Bahkan, beliau dengan sinis menyatakan ketika mentadbir negara selama 22 tahun tidak pernah menubuhkan syarikat yang lari daripada siling.

“Kita tidak pernah tubuh sebuah syarikat supaya lari daripada siling.

"Kerajaan mempunyai siling iaitu tidak boleh hutang lebih daripada siling yang disahkan oleh Parlimen. Tetapi Najib tubuhkan 1MDB yang  mana syarikat itu tidak lagi tertakluk kepada siling kerajaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan dakwaan Najib bersifat tuduhan.

“Hutang RM4.2 bilion itu apa, takkan lah penipuan? Pernahkah kita dengar Kerajaan Malaysia buat penipuan sebegitu?

“Kita tak pernah, tapi Najib pernah. Jadi kalau nak tambah lagi hutang, pilihlah Najib lagi,” katanya sinis.

Beliau berkata, Najib cekap dalam urusan berhutang.

“Nak buat kereta api, hutang. Walaupun kereta api tu tak laku, tak ada orang naik pun tetap hutang.

“Hutang lebih pula tu, kos bina landasan kereta api RM 30 bilion tapi beliau hutang RM 55 bilion, dapatlah RM 25 bilion, itulah caranya. Jual tanah nak bayar hutang,” dedah Mahathir.

Najib sebelum ini berkata, manifesto pilihan raya pakatan pembangkang yang berjanji untuk menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan tol akan menyebabkan negara menanggung tambahan hutang RM416 bilion di samping hutang sedia berjumlah RM685 bilion.