SHAH ALAM - Tuduhan mengatakan Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor akan melarikan diri menggunakan laluan Langkawi adalah tidak benar.

Sumber rapat dengan bekas perdana menteri itu berkata, tuduhan seperti itu jelas tidak masuk akal kerana Najib dan keluarganya bercuti di Pulau Langkawi adalah perkara biasa.

"Sebelum ini, beliau dan keluarganya bercuti di luar negara. Tetapi keadaan sudah berubah, jadi mereka bercuti dalam negara sahaja.

"Ini masanya untuk Najib menghabiskan masa bersama keluarga dan menggunakan masa yang ada untuk berjumpa dengan kawan-kawan lamanya," katanya kepada Sinar Harian.

Dakwaan mengatakan Najib akan melarikan diri menjadi viral sejak semalam dengan mengatakan rombongan keluarga Najib membawa sejumlah besar beg pakaian.

Sumber itu berkata lagi, percutian beliau diuruskan oleh pegawai yang masih bertugas bersamanya.

"Malahan, petugas keselamatan seperti polis masih mengiring dan menjaga keselamatan beliau sepanjang masa," katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 12 Mei lalu menyatakan beliau mengeluarkan larangan keluar negara terhadap Najib dan Rosmah selepas kerajaan banyak menerima aduan berkaitan salah guna kuasa yang dilakukan Najib sebelum ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Henti spekulasi Najib mahu lari ke luar negara]