KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Razak memohon maaf kerana gagal mengawal emosinya semasa diwawancara Al-Jazeera, pagi tadi.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau sedang memikirkan keadaan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan dua anaknya, Norashman dan Riza Aziz yang disoal siasat polis pada waktu yang sama.

Menurutnya, meskipun wawancara itu melangkaui jadual dan skop dipersetujui namun Najib menegaskan beliau gembira menjawa soalan-soalan tambahan yang diajukan.

“Ya, ada sesi wawancara bersama Al-Jazeera pagi ini bermula jam 10.30 pagi, waktu sama isteri, anak dan anak tiri saya disoal siasat polis,” katanya.

Menurut laporan portal itu lagi Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa pengacara rancangan tersebut, Mary Ann Jolley bertegas membangkitkan perkara yang sudah beliau nafikan berulang kali sebelum ini.

"Topik yang saya telah nafikan penglibatan saya berulang kali sepanjang dekad lalu, satu pembunuhan yang telah melalui banyak pendengaran mahkamah.

“Dua minggu lalu, saya telah minta pembantu saya untuk membuat laporan kepada polis agar menyiasatnya semula untuk membersihkan nama saya.

"Saya harap Al-Jazeera mengambil kira perkara ini dan tidak lagi melibatkan nama saya terhadap kehilangan tragik seorang ibu muda.

“Tidak benar sama sekali saya terlibat walaupun dengan segala propaganda bermotifkan politik yang mengaitkan saya,”jelasnya.

Tambah Najib, kebimbangan memikirkan nasib keluarganya ditambah pula dengan soalan berkaitan topik berkenaan menyebabkan beliau gagal mengawal perasaan untuk seketika.

Begitupun, Najib berkata beliau tetap yakin dirinya telah berjaya menyatakan pandangan dan menyifatkannya sebagai satu sesi wawancara yang baik.

"Walaupun beberapa kali Mary Ann mengulang soalan terhadap saya walaupun saya telah memberi jawapan sebelum itu, secara keseluruhan saya percaya telah berjaya menyatakan pandangan sebenar mungkin.

“Saya anggap ia satu wawancara yang baik yang boleh membantu dunia untuk lebih memahami isu 1MDB daripada perspektif saya dan untuk membersihkan nama saya.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Al Jazeera untuk wawancara itu dan meminta maaf jika saya gagal kawal perasaan,” katanya.

Malah, beliau juga mengatakan kesediannya untuk diwawancara sekali lagi jika Al-Jazeera berminat untuk menemui beliau.

“Saya tidak akan ragu-ragu untuk bersetuju jika mereka ingin mewawancara saya lagi," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Najib berang diasak isu berlian, derma RM2.6b?]