SHAH ALAM - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin percaya bahawa usaha mencari kebenaran dan keadilan dalam skandal 1MDB akan mendapat kerjasama yang baik daripada Datuk Seri Mohd Najib Razak dan keluarga beliau.

Katanya, jika bekas perdana menteri dan keluarganya mengetahui dan mempunyai maklumat tentang Jho Low, menjadi tanggungjawab bagi mereka untuk berkongsi dengan pihak berkuasa.

"Ia bukan sahaja satu perkara yang betul untuk dilakukan. Malah, ia akan membantu membersihkan nama dan imej beliau dan keluarga yang kini tercemar dengan skandal ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Najib mendesak agar ahli perniagaan kontroversi yang diburu, Jho Low  kembali ke tanah air untuk memberi penerangan berhubung pemilikan kapal persiaran mewah, The Equanimity yang didakwa dibeli dengan menggunakan wang penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam gesaan itu, Najib juga meminta Jho Low bertanggungjawab mengikut lunas undang-undang untuk membuktikan bahawa pembelian kapal mewah itu tidak dibuat secara haram seperti didakwa.

[ ARTIKEL BERKAITAN: ’Baliklah Jho Low, buktikan tak bersalah’ ]

Sehingga kini Jho Low orang yang paling dikehendaki dalam kes 1MDB masih tidak tampil ke Malaysia bagi menjawab isu yang terpalit dengan dirinya.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, memandangkan isu ini sangat kompleks dan rumit, maka saya juga percaya bahawa kita mesti bekerjasama rapat dengan mana-mana pihak berkuasa luar yang sedang menyiasat dan mencari penyelesaian kepada perkara ini.

"Kerajaan Malaysia harus mempamerkan keseriusan dan kesungguhan yang lebih tegas bagi mendapatkan Jho Low dan mengheret beliau ke muka keadilan. Pihak Kerajaan tidak seharusnya sekali-kali melihat beliau sebagai sekadar watak sampingan yang boleh diketepikan," katanya.

Jelasnya, sebarang pendekatan menunggu dan mengharapkan beliau untuk tampil sendiri dan memberi penjelasan secara sukarela tidak akan berjaya dala kes ini.

Katanya, lagi jawapan yang hanya menyalahkan Kerajaan sebelum ini kerana gagal menahan Jho Low, sudah tentunya bukan alasan yang boleh diterima lagi. Ini kerana, Umno sendiri mahukan perkara ini diselesaikan segara agar ia boleh memfokuskan kepada perkara lain yang lebih penting.

Justeru tegasnya, menguruskan skandal 1MDB dan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan merupakan komitmen dan janji yang dilaungkan oleh Kerajaan sendiri pra PRU14. Jadi, adalah kritikal untuk perkara ini diberikan perhatian dengan lebih serius dan tegas.