KUALA LUMPUR - Negeri Sembilan merupakan negeri terbaharu melaporkan kejadian keracunan metanol menjadikan empat negeri terlibat secara keseluruhan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sejumlah 10 kes baru dilaporkan hari ini iaitu tujuh dari Selangor, dan masing-masing satu kes dari Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan.

“Secara keseluruhan, dengan pertambahan kes-kes baru keracunan metanol ini menjadikan jumlah kes keracunan metanol di Selangor adalah sebanyak 62 kes, Kuala Lumpur (16 kes), Perak (tujuh kes) dan Negeri Sembilan (satu kes).

“Tiada penambahan kematian keracunan metanol dilaporkan dan menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat keracunan metanol adalah kekal sebanyak 29 kes iaitu 18 kes di Selangor, sembilan  kes di Kuala Lumpur dan dua kes di Perak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, daripada kes-kes yang menerima rawatan di hospital, secara keseluruhannya sebanyak 16 pesakit telah didapati stabil dan didiscaj dari hospital.

“Sebanyak 41 kes masih lagi menerima rawatan di 11 buah hospital di Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan. Daripada 41 pesakit yang masih dirawat ini, 16 pesakit adalah kes kritikal manakala 25 pesakit masih menerima rawatan di wad,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Keracunan alkohol: Mangsa maut meningkat 29 orang]

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Kesihatan Awam dan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sedang mengambil sampel produk terbabit untuk analisis.

“Minuman beralkohol disyaki adalah berjenama Grand Royal Whisky, Mandalay Whisky, Joker Whisky dan bir berjenama King Fisher dan Volcano. Sehingga kini, hasil analisis mengesahkan minuman beralkohol jenama Grand Royal Whisky dan Mandalay Whisky mengandungi metanol masing-masing 169,300 ppm (part per million) atau 16.93 peratus dan 173,600 ppm (17.36 peratus) yang didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983.

“Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengambilan atau pendedahan kepada metanol yang berlebihan boleh menyebabkan kerosakan kekal kepada sistem saraf dan penglihatan manusia. Pendedahan kepada metanol pada tahap 300 hingga 1,000 ppm (0.03 hingga 0.1 peratus) boleh menyebabkan koma dan kematian,” katanya.

Menurut Noor Hisham, produk berkenaan juga tidak mematuhi keperluan pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 seperti tiada nama dan alamat pengilang, pengimport atau ejen.

“KKM sedang mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas produk minuman beralkohol terbabit dan produk minuman beralkohol jenama lain yang tidak mematuhi perundangan makanan.

“Sehingga 22 September 2018, sebanyak 402 buah premis yang menjual arak telah diperiksa di mana 1,471 botol minuman beralkohol pelbagai jenama termasuk jenama terbabit yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 telah disita,” katanya.