PORT DICKSON – Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan mustahil orang percaya dengan dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bahawa kerajaan pusat tidak membantu mangsa banjir di Pulau Pinang.

Beliau berkata ini kerana orang ramai dapat menyaksikan sendiri pelbagai pihak daripada agensi dan jabatan kerajaan termasuk anggota tentera turun padang membantu mangsa banjir di negeri itu.

“Anggota tentera telah turun membantu mangsa banjir di sana tanpa menunggu arahan daripada saya. Saya rasa mustahil orang boleh percaya (dakwaan Guan Eng) sebab saya dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, sendiri turun membantu mangsa banjir.

"Kalau kerajaan pusat tak bantu, kenapa dia (Guan Eng) telefon Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pukul 3 pagi (minta bantuan kerajaan pusat)?" katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Tentera Darat di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata, beliau berbangga dengan standart operasi (SOP) Angkatan Tentera Malaysia  (ATM) dalam melaksanakan misi menyelamat dan membantu mangsa banjir di Pulau Pinang baru-baru ini.

Katanya, dia sangat berbangga dengan tindakan SOP ATM yang tidak menunggu arahan daripadanya untuk misi tersebut.

"Saya lihat apa yang mereka lakukan di Pulau Pinang baru-baru ini, mereka telah  menjalankan tugas tanpa melihat warna kulit dan fahaman politik.

"Itu (bantuan tentera dan kerajaan pusat kepada mangsa banjir) tiada siapa di Pulau Pinang boleh nafikan, jadi kalau ada yang kata tak bantu saya rasa tak patutlah," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PORT DICKSON - Kementerian Pertahanan akan terus memantau pergolakkan yang berlaku di Lubnan selepas Perdana Menterinya, Saad Hariri meletak jawatan.
  • KUALA LUMPUR - Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi amaran bahawa ketidakstabilan di negara-negara sekitar Arab Saudi akan hanya menjadi saluran bagi kumpulan pengganas untuk berkembang.
  • KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan masih menunggu pengesahan daripada Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung laporan kematian militan Malaysia Dr Mahmud Ahmad dalam pertempuran dengan tentera di Bandar Marawi, Filipina, pada Rabu.
  • KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan (Mindef) akan melaksanakan program tuisyen berpusat dan tuisyen dalam talian untuk anak-anak tentera dan veteran tentera.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.