KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Menteri Sabah  Tan Sri Musa Aman, yang kini dalam senarai orang dikehendaki Bukit Aman, nampaknya masih menyembunyikan diri dan menjalani rawatan di London, kata sekutunya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Anggota Parlimen Keningau itu berkata beliau bercakap dengan Musa baru-baru ini dan memintanya supaya pulang ke tanah air untuk menyelesaikan isu yang membabitkan dirinya.

“Terkini, saya tahu beliau berada di London. Saya bercakap dengan beliau sekali, dalam seminggu yang lepas. Saya tanya tentang keadaannya. Beliau jawab beliau  OK, dan saya memaklumkan kepadanya perkembangan terbaharu (di Sabah).

“Saya memberitahu beliau supaya pulang segera agar  masyarakat tidak membuat spekulasi  dan beliau menjawab: “Ya. Saya akan pulang”,” katanya kepada Bernama di lobi parlimen selepas istiadat perasmian Parlimen ke-14 oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di sini hari ini.

Musa, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga, dilaporkan melarikan diri ke London pada 17 Mei selepas mewujudkan krisis kepimpinan di Sabah.

Beliau kini dikehendaki polis berhubung dakwaan  ugutan jenayah terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah pada majlis angkat sumpah 10 Mei lepas.

Beliau turut disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung dakwaan menyogok Anggota Dewan Undangan Negeri.

Menurut laporan berita, Musa mesti kembali ke Sabah paling lewat 11 Ogos untuk menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri, yang mana kegagalan untuk berbuat demikian akan mengakibatkan beliau kehilangan kerusi DUN berkenaan mengikut Perkara  22 (2) Perlembagaan Negeri Sabah.

Musa pada mulanya mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di hadapan Yang Dipertua Negeri  Sabah pada 10 Mei tetapi hilang majoriti dalam tempoh kurang daripada 48 jam dengan Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengangkat sumpah pada 12 Mei. - Bernama