SHAH ALAM - Pertambahan Doktor gigi palsu dilaporkan akan berlaku ekoran sikap masyarakat yang mahukan caj rawatan pergigian yang murah dan perkhidmatan yang cepat meskipun terpaksa mengabaikan aspek keselamatan.

Presiden Persatuan Pengamal Pergigian Swasta (MPDPA), Dr V Nedunchelian berkata, penawaran perkhidmatan yang boleh dilaksanakan di mana-mana sahaja turut menjadi faktor tarikan bagi orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan doktor gigi palsu itu.

"Berurusan dengan doktor gigi palsu amat mudah apabila masyarakat tidak perlu membuat temu janji atau menunggu giliran walaupun tindakan mereka menggunakan perkhidmatan doktor gigi palsu itu hanya mengundang bahaya kepada diri mereka sendiri.

"Apa yang saya nampak perkhidmatan yang lazim menjadi pilihan masyarakat daripada doktor gigi palsu terbabit adalah pemasangan pendakap gigi dan juga pemakaian gigi palsu," katanya

Pada masa sama, beliau yang sudah berkecimpung dalam dunia pergigian selamat 25 tahun turut mengakui terdapat pesakit yang datang ke kliniknya untuk mendapatkan rawatan setelah mengalami komplikasi akibat memilih perkhidmatan memasang gigi palsu daripada doktor palsu.

“Pesakit ketika itu mengalami bengkak gusi yang serius selain gigi palsunya melekat pada rangka gusi.

"Pesakit juga berhadapan kesakitan yang serius akibat tekanan yang menyucuk bahagian gusi asal serta terdapat banyak ulser di dalam mulutnya," katanya

Menurutnya, pihaknya mendapati  cara pemasangan yang dilakukan itu bukanlah teknik pemasangan yang sebenar kerana ia menggunakan dawai yang diikat.

"Apabila saya tanya di mana dia dapatkan khidmat itu (pasang gigi palsu), pesakit hanya menjawab ada orang datang rumah untuk pasang.

"Bila saya tanya secara mendalam siapa yang membuat pemasangan itu, namun pesakit enggan mendedahkan hal sebenar,” katanya yang turut mempunyai tiga klinik pergigian di Kapar, Puchong dan Kampung Melayu Subang.

Dr V Nedunchelian

Dalam pada itu, Nedunchelian berkata, rawatan pergigian bukan satu proses yang mudah kerana ia adalah proses klinikal yang memerlukan prosedur sangat rapi.

“Doktor akan memeriksa pesakit terlebih dahulu bagi memastikannya kesesuaian dan benar-benar perlu menjalani rawatan gigi bagi mengelak berlaku sebarang komplikasi," katanya.

Mengenai isu perkhidmatan pemakaian pendakap gigi tiruan, beliau meminta masyarakat agar tidak menjadikannya sebagai 'trend' sehingga sanggup mengenepikan sebarang risiko kesihatan kepada diri sendiri.

"Berlawanan dengan kepercayaan sesetengah masyarakat, pemasangan pendakap gigi untuk menangani masalah gigi jarang, berlapis atau rahang tidak harmoni memerlukan proses yang kompleks termasuk pemeriksan rapi serta tidak boleh dipelajari daripada YouTube," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GEORGETOWN - Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya mengakui tidak mengenali doktor gigi palsu yang didapati bersalah oleh mahkamah kerana menjalankan perniagaan memasang pendakap gigi secara haram di Bukit Katil, Melaka.
  • KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menafikan dakwaan kononnya membantu membebaskan "Doktor Gigi Palsu" yang didenda RM70,000 kerana didapati menjalankan perniagaan memasang pendakap gigi secara haram baru-baru ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.