SHAH ALAM - Mungkin akan ada lagu cukai jualan dan perkhidmatan (SST) juga selepas ini? Soal bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui perkongsiannya dalam laman sosial Facebook peribadinya, pagi ini.

Najib berkata, Menteri Kewangan Lim Guan Eng akhirnya mengakui ada harga barang turut naik selepas SST dilaksanakan walaupun pembantunya Ahli Parlimen Damansara Tony Pua Kiam Wee pernah bertegas di Parlimen bahawa harga barang akan turun dengan SST.

Menurutnya, Guan Eng kini berkata SST bukan sebab utama untuk kenaikan harga barang tetapi banyak faktor-faktor lain seperti barang diimport, penyusutan nilai ringgit, musim perayaan, kegiatan penyeludupan, kemarau di negara pengeluar selain sikap peniaga yang mahu mengaut keuntungan berlebihan.

“Dahulu, beliau berulangkali kata punca harga barang naik ialah kerana cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Malah, beliau turut menyanyi lagu mengenai GST bersama kanak-kanak.

“Kini dia kata pula harga barang naik bukan kerana SST tetapi disebabkan oleh banyak faktor-faktor lain. Mungkin akan ada lagu SST juga selepas ini? Soalnya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Polis ambil keterangan Guan Eng]

April lalu, polis merakamkan percakapan Ketua Menteri, Lim Guan Eng berhubung isu nyanyian lagu anti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dinyanyikan di hadapan kanak-kanak, 17 Mac lalu.

Guan Eng menyanyikan lagu bermelodi ABC yang diubah liriknya kepada anti GST dan berbaur politik itu ketika melancarkan Pusat Tuisyen Rakyat di Flat Mutiara Idaman 2, Jelutong.

Perbuatan Guan Eng itu dirakam dan rakaman video berdurasi 32 saat itu menjadi tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi yang kebanyakkannya menyelar tindakan tersebut.

Sehubungan itu, polis telah membuka kertas siasatan ke atas Guan Eng kerana didakwa cuba mengeksploitasi kanak-kanak demi kepentingan politik di sebuah pusat tuisyen.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,00 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas sabitan.