Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir
Mukhriz ketika merasmikan Malam Puisi Ramadan Karangkraf 2012, malam tadi. - Foto Sinar Harian oleh Muhammad Zulfadhli

SHAH ALAM - "Apa sekalipun tema merdeka tahun ini, biarlah yang mampu menyatukan rakyat negara kita." Demikian pendirian Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Ditemui pada majlis Puisi Ramadan anjuran Kumpulan Media Karangkraf di sini malam tadi, Mukhriz berkata, apa yang penting sepanjang Bulan Kemerdekaan ialah setiap rakyat benar-benar menghayati maksud sebenar kemerdekaan terutamanya golongan muda.

"Kita mesti kena betul-betul menghayati bahawa kita ini sebuah negara yang baru 55 tahun merdeka, setelah lebih 450 tahun dijajah.

"Walaupun ada perbezaan ideologi politik dan sebagainya, namun soal pembebasan diri kita dari penjajahan jangan dipolitikkan," katanya.

Timbalan Pengerusi Umno Kedah ini menambah, "contoh yang paling mudah adalah mengibarkan Jalur Gemilang. Bukan sekadar itu sahaja."

Jelas beliau, sewajarnya orang muda mengambil kesempatan Bulan Kemerdekaan untuk memahami tentang apa erti kemerdekaan dan sumbangan mereka kepada negara.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan tiga negeri pembangkang, Selangor, Kedah dan Kelantan di mana masing-masing membuat keputusan untuk menggunakan tema kemerdekaan sendiri yang berbeza dengan Kerajaan Pusat serta berbeza antara satu sama lain.

Semalam, Pakatan Rakyat (PR) menegaskan pendiriannya mahu menggunakan tema alternatif iaitu Sebangsa Senegara Sejiwa bagi menyambut Hari Kemerdekaan tahun ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, tema PR tidak akan berubah dan akan dipakai untuk sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun ini.

Sebelum ini, PR telah mendesak Kerajaan Pusat supaya menukar tema Hari Kemerdekaan '55 Tahun Merdeka Janji Ditepati' agar ia tidak mencerminkan BN semata-mata.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim menegaskan tema Hari Kemerdekaan tidak akan diubah.

Justeru itu, PR telah memilih logo untuk tema itu, yang akan diumumkan selepas mesyuarat ahli jawatankuasa khas itu, esok.