SINTOK - Pengurusan kewangan berhemah, tidak membuat pinjaman luar dengan banyak dan mengambil tindakan tepat ketika berlaku kegawatan ekonomi, berjaya meletakkan ekonomi negara pada landasan yang tepat.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata Malaysia terus mengecapkan perkembangan ekonomi mapan disebabkan tidak terikut-ikut dengan pandangan pakar-pakar ekonomi dunia.
Beliau berkata kedudukan ekonomi negara kukuh hasil rancangan Strategi Lautan Biru serta program transformasi yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak setelah mengambil alih pentadbiran negara pada 2009.
"Persekitaran ekonomi kondusif wujud kerana dasar dan sistem penyampaian yang dilaksanakan mampu mengatasi rintangan serta melonjakkan pendapatan negara.
"Perkara yang tidak biasa dilakukan seperti menambat ringgit semasa kegawatan ekonomi dunia 1998 dan tidak meminjam dengan Bank Dunia telah memberi impak positif terhadap ekonomi negara," kata Mukhriz semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Bersama Pemimpin sempena minggu suai kenal penuntut baharu Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini malam tadi.
Beliau berkata program transformasi dilaksanakan bukan sekadar untuk melonjak pendapatan rakyat dan negara, malah merangsang pelaburan asing yang sekali gus mewujudkan pekerjaan baharu serta membasmi kemiskinan.
"Kita tidak perlu risau Malaysia boleh muflis atau kewangan kita mengalami kesan negatif berikutan tindakan memberi pelbagai bantuan kepada rakyat. Wang ini dijana hasil pengurusan kewangan berhemah dan kecekapan pungutan cukai.
"Pinjaman kerajaan sekitar RM800 bilion. Daripada jumlah itu pinjaman luar cuma 17 peratus. Selebihnya merupakan pinjaman dari institusi dalam negara," kata Mukhriz.
Ketika menjawab pertanyaan penuntut universiti itu, beliau berkata ekonomi dan politik berkait rapat dan sebab itu satu kerajaan yang kuat diperlukan agar pelabur asing yakin dengan kerajaan yang memerintah.
Mukhriz yang juga timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah berkata ketidaktentuan politik negara menyebabkan pelabur asing menangguhkan untuk membuat keputusan pelaburan.
Katanya Malaysia tidak akan muflis dan boleh meneruskan pemberian subsidi walaupun selepas tahun 2020 dengan syarat mengamalkan dasar pengurusan kewangan berhemah dan mengamalkan pendekatan yang tidak memudaratkan rakyat.
Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mustafa Ishak, timbalan-timbalannya dan lebih 4,000 penuntut baharu sesi 2012/2013 yang mendaftar pada 2 Sept lepas, hadir.- Bernama




