SHAH ALAM - Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipilih sebagai calon paling sesuai menjadi Timbalan Perdana Menteri sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8.

Undian dalam talian (live poll) yang dijalankan Sinar Harian menerusi platform media sosial Facebook kelmarin, Muhyiddin mendahului dengan 5,330 undi diikuti Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan 1,887 undi.

Dua lagi calon lain iaitu Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mendapat 484 undi dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendapat undian paling rendah sebanyak 276 undi.

Di ruang komen, kebanyakan pengguna bersetuju Muhyiddin dilantik sebagai timbalan perdana menteri memandangkan beliau mempunyai pengalaman bersama kerajaan BN terdahulu.

Tidak kurang juga ramai yang mencadangkan supaya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dikekalkan kerana tempat isteri adalah di sisi suami dan Anwar pasti mendapat sokongan penuh isteri jika Wan Azizah menjadi pembantunya.

Undian selama tiga jam itu turut menyaksikan seramai 8,800 pengguna memilih menggunakan emoticon selain mendapat 149 perkongsian di Facebook.