GEORGE TOWN -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di sini untuk mengadakan lawatan kerja sehari di Pulau Pinang.

Ketibaan beliau dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan pemimpin-pemimpin BN negeri.

Timbalan Perdana Menteri memulakan lawatannya dengan mengadakan tiga perjumpaan tertutup iaitu dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman, Jawatankuasa Badan Perhubungan Umno Negeri dan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin BN Negeri.

Muhyiddin dan rombongan kemudian akan menghadiri jamuan tengah hari Kenduri Rakyat 1Malaysia di Kampung Permatang Tepi, Simpang Empat Balik Pulau dekat sini.

Timbalan Perdana Menteri juga dijadual merasmikan program Majlis Pemantapan Profesionalisme Warga Pendidik Negeri Pulau Pinang di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.
    
Sementara itu, Noorainee pula dijadual menghadiri dua majlis berasingan iaitu bermula dengan Sarapan Pagi dan Ramah Mesra bersama Puspanita dan pemimpin-pemimpin Persekutuan Wanita Pulau Pinang di Anjung Indah, Balik Pulau.

Beliau kemudiannya menghadiri majlis ramah mesra bersama anggota Pusat Perkembangan Wanita Nelayan di Kampung Pulau Betong, Balik Pulau sebelum menyertai Muhyiddin di majlis Kenduri Rakyat 1Malaysia.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.