KUALA LUMPUR - Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri menemui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan isu-isu berkaitan Islam dan umat Islam dalam luar negara.

Dalam pertemuan yang berlangsung 45 minit semalam, Zulkifli mengambil kesempatan menerangkan fungsi dan peranan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di peringkat Wilayah Persekutuan, negara dan juga dunia Islam amnya.

Beliau turut menyampaikan harapan masyarakat Islam kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan.

Menerusi Twitternya, Zulkifli menghargai layanan yang amat baik Perdana Menteri termasuk respons dan pendapat yang tuntas antara kedua-duanya untuk sama-sama dikaji dan ditekuni sebaiknya .

"Terima kasih Tun! Alhamdulillah, akhirnya berpeluang duduk bertemu mata dengan Perdana Menteri bagi membincangkan isu-isu berkaitan Islam dan umat Islam sama ada dalam dan juga luar negara.

"Hampir 45 minit perbincangan berlangsung dengan perkongsian buah fikiran yang sangat baik," katanya.

Selain itu, Zulkifli turut berkongsi ucapan hari lahir buat Dr Mahathir dengan mendoakan beliau dikurniakan kesihatan untuk melaksnakan tugas dalam usaha membawa Malaysia ke arah yang lebih baik dan cemerlang.

Sebagai buah tangan, Mufti Wilayah Persekutuan itu juga membawa beberapa buku tulisannya kepada Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Zulkifli juga memuat naik fotonya bersama Peguam Negara, Tommy Thomas.

"Kebetulan berada satu lif dengan Peguam Negara, Tommy Thomas. Kami sempat bertanya khabar dan menyuarakan hasrat untuk bertemu empat mata bagi membincangkan beberapa hal berkaitan akta Wilayah Persekutuan berhubung agama Islam.