SHAH ALAM - Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mendoakan kepada Allah SWT agar jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei diberikan kesembuhan susulan didignosis sakit kanser hidung.

Zulkifli berkata, kesembuhan berkenaan adalah supaya jaguh badminton negara berkenaan akan dapat terus menyumbang dalam dunia sukan badminton negara bagi melahirkan pelapis yang berkualiti dalam sukan berkenaan.

Menurutnya, kesemua rakyat Malaysia sentiasa mendoakan yang terbaik buat perwira negara berkenaan.

“Terus positif dan semoga beroleh kesembuhan. Saya berdoa kepada Allah SWT agar diberi kesembuhan kepada beliau (Chong Wei) supaya dapat terus menyumbang dalam dunia sukan badminton Malaysia bagi melahirkan pelapis yang berkualiti.

“Nama beliau tidak perlu diperkenalkan lagi dalam arena badminton dunia.  Sukan Komanwel 2006, Terbuka All England 2010, 2011, 2014, 2017, Pemain Terbaik Badminton World Federation 2009, 2010, 1011, 2013, 2016 adalah antara rekod-rekod yang layak ditulis dengan tinta emas,” katanya menerusi perkongsian di Twitter rasminya, malam tadi.

[ARTIKEL BERKAITAN: Chong Wei hidap kanser hidung]

Kelmarin, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Chong Wei didiagnosis kanser hidung peringkat awal.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, Chong Wei masih lagi menjalani rawatan dan difahamkan proses rawatan serta pemulihan berjalan lancar.