KAJANG  – Kerajaan akan menubuhkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) tahun depan bagi menyiasat kes-kes kemalangan jalan raya di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata penubuhan lembaga itu merupakan antara cadangan Panel Kaji Semula Syor (RRP), sebuah panel bebas diwujudkan oleh kementerian, bagi keperluan untuk menubuhkan agensi khas bagi menyiasat kemalangan jalan di seluruh negara.

Beliau berkata draf akta bagi penubuhan lembaga itu sedang digubal dan akan dibentangkan di Parlimen pada suku pertama tahun  hadapan.

“Penubuhan MTSB merupkan antara syor dikemukakan oleh RRP,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan Laporan Status Pelaksanaan 51 Syor Penambahbaikan Panel Penasihat Bebas (PPB) di Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian merangkap Pengerusi Bersama PPB,  Datuk Seri Saripuddin Kasim dan Pengerusi MIROS, Tan Sri Lee Lam Thye.

PPB adalah panel pemantau status pelaksanaan 51 syor penambahbaikan perkhidmatan bas susulan tragedi kemalangan bas di KM3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur yang meragut 37 nyawa pada Ogos 2013.

Loke berkata, berdasarkan syor laporan itu, mulai tahun 2020, kementerian mewajibkan semua bas ekspres dan bas persiaran baharu memasang tali pinggang keledar di tempat duduk penumpang, sistem sokongan keselamatan brek serta pematuhan alat pengehad kelajuan.

Selain itu, katanya, kementerian juga akan mewajibkan pemasangan sistem pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) pada semua bas baharu selain meningkatkan tahap kebajikan pemandu bas.

Sementara itu, Loke berkata sebanyak 54 peratus atau 27 daripada 51 syor penambahbaikan yang dikemukakan dalam laporan penilaian tragedi kemalangan bas itu telah dilaksanakan sepenuhnya manakala 38 peratus atau 19 syor dilaksanakan secara separa manakala lapan peratus (empat syor) masih belum dilaksanakan.

Beliau berkata daripada 51 syor, 20 adalah berkaitan faktor keselamatan kenderaan, 16 (keselamatan jalan raya), 8 (keselamatan operasi/kesihatan pekerjaan), 4 (tindakan kecemasan dan menyelamat) dan tiga syor berkaitan faktor memperkasakan penglibatan orang awam terhadap keselamatan jalan raya.

Bagaimanpun, katanya, satu syor dikeluarkan daripada laporan itu kerana syarikat bas, Genting Highlands Transport, yang terbabit dalam tragedi tersebut, telah menamatkan operasi perkhidmatannnya, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 50 syor sahaja. - Bernama