KAJANG - Pelancaran fasa kedua Laluan Transit Aliran Massa (MRT) pertama hari ini merupakan kejayaan besar kerajaan dalam usaha berterusannya untuk memajukan dan menambah baik rangkaian pengangkutan awam, khususnya di kawasan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) sepanjang 51km akan memberi akses yang lebih baik kepada penumpang di sepanjang laluan itu.

Katanya, Laluan MRT SBK direka bentuk bagi memastikan wujudnya integrasi serba lengkap dengan perkhidmatan pengangkutan awam sedia ada dan akan datang seperti Transit Aliran Ringan (LRT), LRT3, MRT2 dan KTM Komuter.

"Persimpangan ini akan mewujudkan satu rangkaian pengangkutan awam bersepadu bersifat holistik, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang selamat, terjamin dan lancar untuk rakyat.

"Saya amat berharap agar kami akan dapat terus meningkatkan kekerapannya (perkhidmatan berkenaan) pada masa akan datang.

"Dengan perasmian laluan Semantan-Kajang hari ini, saya amat yakin jumlah penumpang akan bertambah dengan begitu banyak,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran MRT di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar menyifatkan projek MRT yang siap dilaksanakan itu sebagai suatu hadiah untuk rakyat, terutama di Selangor.

Katanya, daripada 31 stesen Laluan SBK yang telah dibina, majoriti terletak di Selangor.

Fasa kedua Laluan MRT SBK yang dilancarkan di stesen bawah tanah Tun Razak Exchange hari ini, mengandungi 19 stesen baharu, tujuh daripadanya terletak di bawah tanah.

Stesen berkenaan ialah Muzium Negara, Pasar Seni, Dataran Merdeka, Bukit Bintang, Tun Razak Exchange Centre, Cochrane, Maluri, Taman Pertama, Taman Midah, Taman Mutiara,  Taman Connaught, Taman Suntex, Sri Raya, Bandar Tun Hussein Onn, Batu Sebelas Cheras, Bukit Dukung, Sungai Jernih, Stadium Kajang dan stesen Kajang.

Setiap set tren yang mengadakan perkhidmatan di Laluan MRT SBK mempunyai empat gerabak dan mampu mengangkut 1,200 penumpang bagi setiap perjalanan, dengan jumlah penumpang dianggarkan 400,000 orang setiap hari.

Tren berkenaan akan mengadakan perkhidmatan pada kekerapan 3.5 minit pada waktu puncak.

Noh berkata, apa dilaksanakan kerajaan BN disifatkan jauh lebih bermanfaat kepada rakyat, berbanding pembangkang.

Katanya, rakyat Selangor perlu berterima kasih kepada kerajaan yang menyediakan kemudahan MRT di mana majoriti stesennya terletak di kawasan pemerintahan pembangkang.

Beliau yang juga Pengerusi BN Selangor berkata, ia adalah 'langkah Kajang' sebenar, bukannya mengumumkan pilihan raya semata-mata untuk memilih Menteri Besar Selangor yang baharu.

"Akhirnya kita lihat 'langkah Kajang', yang menang tak dapat jadi menteri besar. Menteri besar sekarang ini dapat jawatan atas linangan mata orang lain,"katanya.

Noh berkata, kerajaan memberikan pembangunan ekonomi kepada Selangor dan beliau dimaklumkan bahawa kerajaan negeri memberikan arahan kepada pegawainya supaya tidak menghadiri majlis hari ini.

"Namun ramai rakyat yang hadir. Maknanya rakyat di Selangor sedar apa yang telah dibuat untuk Selangor tanpa mengira politik walaupun kita tak perintah Selangor," katanya.
 

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) perlu dilihat sebagai satu kebanggaan negara kerana menggunakan teknologi termaju pada masa kini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
  • KUALA LUMPUR - Proses pembinaan projek Transit Aliran Massa (MRT) bagi jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) mencapai kejayaan penting dengan siapnya struktur rentangan jejambat (viaduct) pertama laluan itu.
  • KUALA LUMPUR - Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang bagi fasa satu dan dua mencatatkan sehingga 7.4 juta penumpang, sejak mula beroperasi pada 16 Dis tahun lepas hingga kini.
  • KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membidas sikap pembangkang yang memperkecil-kecilkan usaha kerajaan dalam pembangunan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK).
  • KUALA LUMPUR - `Sebanyak 130,000 peluang pekerjaan telah diwujudkan sejak pembinaan projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) yang dimulakan pada 2011 hingga kini, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.