KUALA LUMPUR - Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) perlu dilihat sebagai satu kebanggaan negara kerana menggunakan teknologi termaju pada masa kini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Beliau berkata ia juga menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi selain berperanan menempatkan bakat tempatan dalam bidang kejuruteraan.

“Bagi MOSTI, semua ini adalah membanggakan kerana negara kita sudah sampai ke tahap ini dari segi teknologi, inovasi yang diperkenalkan supaya akhirnya rakyat dapat mengetahui bahawa negara kita sudah jauh ke hadapan.

“Dari segi bakat dan tenaga kerja pula, kita akan kumpulkan segala data berkenaan dan akan kita tunjukkan kepada pelabur berpotensi bahawa negara ini mempunyai bakat dalam bidang-bidang berkaitan perkhidmatan ini khususnya kejuruteraan supaya mereka berkeyakinan untuk datang melabur di negara ini,” katanya kepada pemberita semasa melakukan lawatan kerja ke Pusat Kawalan Operasi MRT Sungai Buloh-Kajang di Sungai Buloh hari ini.

Terdahulu, Madius berserta Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Datuk Zohari Sulaiman dan Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Seri Dr Mohd Azhar Yahaya serta pegawai-pegawai kementerian membawa sekumpulan pelajar anak-anak orang Asli dari SK Dengkil menaiki MRT dari stesen Tun Razak Exchange ke stesen Kwasa Damansara untuk memberi peluang kepada mereka merasai kemudahan pengakutan awam yang terbaharu itu.

Dalam pada itu, Zohari berkata MRT merupakan sistem pengangkutan awam berteknologi tinggi dan ia berkembang pesat, sekali gus memerlukan tenaga kerja yang cekap serta berkemahiran tinggi baik dari segi kejuruteraan mahupun pengurusan.

Bagi memastikan perkara itu tercapai, beliau berkata, pihak RapidKL telah bekerja sama dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan politeknik untuk menyediakan peluang pendidikan serta latihan praktikal kepada para pelajar tentang teknologi di MRT.- Bernama    

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Enam rakyat Malaysia cedera dalam kemalangan tren di stesen Transit Aliran Massa (MRT) Joo Koon di Singapura semalam, kata Wisma Putra.
  • KUALA LUMPUR - Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) akan bekerjasama dengan agensi relevan untuk mempercepatkan pembinaan projek MRT Laluan 3 (MRT3), kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Shahril Mokhtar.
  • KUALA LUMPUR - MMC Gamuda KVMRT Sdn Bhd, rakan penyampai projek bagi jajaran kedua Transit Aliran Massa (MRT) menaik taraf empat Mesin Pengorek Terowong Ketumpatan Berubah (VD TBM), untuk meningkatkan kecekapan operasi kerja-kerja menggali terowong bawah tanah bagi pembinaan MRT laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP).
  • KUALA LUMPUR - Proses pembinaan projek Transit Aliran Massa (MRT) bagi jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) mencapai kejayaan penting dengan siapnya struktur rentangan jejambat (viaduct) pertama laluan itu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.