KUALA LUMPUR - Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mengekalkan prestasi cemerlangnya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 dengan 1,368 calon atau 19.85 peratus daripada 6,885 pelajar mendapat gred A dalam semua mata pelajaran.

Ketua Pengarah Mara Datuk Ibrahim Ahmad berkata secara keseluruhan pencapaian kesemua 39 MRSM adalah cemerlang serta berjaya mengekalkan prestasi
memuaskan dengan mencatat keputusan lulus 100 peratus.

"Pencapaian keseluruhan SPM bertambah baik dengan nilai gred purata maktab (GPM) 1.79 berbanding GPM SPM tahun lepas iaitu 1.86.

"Dalam SPM 2010 seramai 1,249 orang (18.28 peratus) berjaya mendapat gred A bagi semua mata pelajaran. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 1.57 peratus,"
katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ibrahim berkata pencapaian ini menunjukkan kecemerlangan pelajar-pelajar MRSM terserlah bukan sahaja di dalam bidang akademik malah mampu menguasai
pelbagai bidang kemahiran serta kemahiran insaniah.

Katanya, sistem pendidikan MRSM akan terus relevan dan menjadi penyumbang kepada pembangunan global, berintegriti, berkualiti serta mempunyai minda kelas
pertama selaras dengan visi Mara untuk menjadi organisasi amanah yang unggul untuk mengangkat martabat bangsa.- Bernama