SLIM RIVER -Kementerian Industri Utama akan meminta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melakukan kajian segera bagi mengatasi isu ulat bungkus yang telah menyerang beberapa kawasan tanaman kelapa sawit di negara ini.

Menterinya Teresa Kok Suh Sim berkata kementerian tersebut menerusi agensinya komited mencari jalan menyelesaikan permasalahan tersebut yang kerap membelenggu peneroka dan pekebun sawit.

“Tumpuan kajian (perlu dijalankan) terhadap ulat pemakan daun (ulat bungkus) ini kerana kalau 20 peratus diserang penyakit, ia keadaan serius dan akan jejaskan pendapatan peneroka.

“Jadi isu ini (serangan ulat bungkus) kita (kementerian) sudah bangkitkan dan akan beri tumpuan penyakit yang menyerang tanaman sawit, jadi ini akan jadi tumpuan utama kajian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program penerangan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan kawalan ulat pemakan daun (UPD) yang dihadiri kira-kira 100 peneroka Felda Wilayah Trolak di Felda Gunung Besout 2, di sini, hari ini.

Kok turut meluangkan masa kira-kira 30 minit di ladang sawit melihat demonstrasi suntikan batang pokok sawit yang diserang ulat bungkus bagi membunuh kitaran hidup ulat.

Sementara itu, beliau berkata kementeriannya akan turut membawa kajian kaedah tanaman campuran daripada saintis Brazil untuk diperkenalkan dalam penanaman sawit.

“Saya tidak pasti sama ada ini cara terbaik atau tidak. Namun saya juga akan bawa isu ini kepada MPOB,” katanya.

Sebelum itu dalam ucapannya, beliau berkata tanaman campuran dalam penanaman sawit seperti menanam pokok hutan dilihat mempunyai kebaikan terhadap alam sekitar dan hidupan liar, sekali gus dapat mengelakkan serangan penyakit pokok. — Bernama